KUALA LUMPUR 11 Dis – Validus berjaya meraih AS$30 juta (RM138 juta) dalam pusingan pembiayaan Siri D yang diketuai Khazanah Nasional Bhd, bagi memperkukuh pengembangan operasinya di Indonesia dan Thailand.
Pembiayaan terbaharu itu diperoleh selepas syarikat tersebut melupuskan perniagaannya di Singapura kepada GXS Bank, sebuah bank digital milik Grab pada April 2025.
Ditubuhkan pada 2015, Validus menawarkan pelbagai rumusan pembiayaan alternatif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Asia Tenggara.
Setakat ini, syarikat itu telah menyalurkan lebih AS$5 bilion (RM23 bilion) pinjaman dengan model pembiayaan bersepadu yang menggabungkan pembiayaan rantaian bekalan, analitik kredit proprietari dan penyertaan institusi.
Validus bekerjasama dengan bank-bank serantau dan antarabangsa serta syarikat korporat utama di Indonesia dan Thailand, yang dikenal pasti sebagai pasaran pembiayaan rantaian bekalan bernilai gabungan AS$46 bilion (RM211.6 bilion).
Perniagaan Validus di Indonesia juga dilaporkan mencatat keuntungan tiga tahun berturut-turut.
Modal baharu itu akan menyokong peluasan operasi dan pertumbuhan buku pinjaman, dengan Validus menjangkakan penggandaan jumlah pinjaman dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Avendus Capital bertindak sebagai penasihat kewangan eksklusif bagi urus niaga tersebut.
“Syarikat sangat teruja untuk bekerjasama dengan Khazanah. Pendekatan pelaburan jangka panjang mereka serta kepakaran mendalam dalam sektor perkhidmatan kewangan menjadikan mereka rakan strategik terbaik ketika kami memperkukuh keupayaan menyediakan pembiayaan berimpak kepada PKS di rantau ini.
“Kerjasama ini bakal melonjakkan lagi misi syarikat untuk memacu keterangkuman kewangan dan kemakmuran ekonomi di Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan. - DagangNews.com








