KUALA LUMPUR 13 Jun – UUE Holdings Bhd memperoleh tiga kontrak baharu bernilai RM83.4 juta melalui anak syarikat milik penuhnya, Kum Fatt Engineering Sdn Bhd, daripada Sutera Utama Sdn Bhd.
Tiga kontrak baharu itu melonjakkan buku pesanan semasa UUE kepada RM416 juta, sekali gus memberi keterlihatan pendapatan kukuh untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Pengarah Urusan UUE Datuk Dr Ting Kok Hwa berkata, pihaknya menghargai keyakinan berterusan pelanggan dan pelabur terhadap kumpulan.
"Syarikat beroperasi dengan matlamat melaksanakan kontrak dengan cemerlang dan memperoleh lebih banyak kontrak selaras dengan hasrat menjadi rakan utama dalam pembangunan aset infrastruktur kritikal negara.
"Kami komited untuk menyampaikan setiap projek dengan cekap serta mematuhi sepenuhnya piawaian kualiti TNB demi menjana nilai jangka panjang kepada pemegang saham," katanya dalam satu kenyataan.
Kontrak tersebut merupakan kumpulan kedua anugerah subkontrak utama berkaitan projek Tenaga Nasional Berhad (TNB), susulan pengumuman UUE pada 10 Jun mengenai kontrak bernilai RM92.4 juta.
Tiga kontrak itu melibatkan kerja pemasangan, pengujian, dan pentauliahan kabel bawah tanah 11kV dan 33kV serta aksesori dalam rangkaian pengagihan TNB di wilayah utara dan selatan.
Setiap kontrak mempunyai tempoh dua tahun bermula dari tarikh notis pelaksanaan kerja dikeluarkan, dengan pilihan lanjutan setahun sekiranya kerja tidak disiapkan dalam tempoh asal atau bagi menampung pesanan tambahan, tertakluk kepada prestasi yang baik.
Pencapaian itu mengukuhkan keupayaan UUE melaksanakan inisiatif penaiktarafan grid TNB dengan cekap dan menepati masa, sekali gus memperkukuh rekod prestasi kumpulan sebagai subkontraktor yang diyakini.
Kontrak berkenaan dijangka menyumbang positif kepada pendapatan masa depan kumpulan dan mengukuhkan asas aset bersih.- DagangNews.com








