UUE dapat kontrak lebih RM28 juta bagi pemasangan paip HDD di Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UUE dapat kontrak lebih RM28 juta bagi pemasangan paip HDD di Singapura

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 April — UUE Holdings Berhad berjaya memperoleh kontrak untuk kerja-kerja pemasangan paip polietilena berketumpatan tinggi (HDD) di Singapura dengan nilai S$8,393,966 (kira-kira RM28,069,422).


Kumpulan kejuruteraan utiliti awam tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak berkenaan diterima anak syarikat milik penuhnya, Konnection Engineering Pte Ltd, yang beroperasi di negara jiran itu.


Tender tersebut dianugerahkan pada 11 April 2025 oleh kontraktor utama projek itu, Weng Guan Technology Pte Ltd untuk penyediaan bahan, alatan, buruh, peralatan dan aksesori lain yang diperlukan bagi kerja berkenaan.


"Kontrak kerja-kerja itu adalah untuk SP PowerAssets Limited, sebuah syarikat di bawah firma utiliti, Singapore Power Group yang dimiliki oleh badan dana pelaburan pemerintah republik tersebut, Temasek Holdings," katanya.


Tempoh pelaksanaan bagi kerja-kerja berkenaan kata UUE Holdings yang beribu pejabat di Johor Bahru, Johor itu adalah selama 27 bulan bermula 26 Mac 2025 dengan pilihan untuk kontrak dilanjutkan selama 12 bulan lagi.


Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham dan aset bersih serta kumpulan syarikatnya sepanjang tempoh kontrak dengan tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham, dan pegangan kumpulan.


Ia juga meningkatkan jumlah kejayaan buku pesanan syarikat itu pada tahun kalendar 2025 kepada RM92.1 juta, dan menekankan keupayaan kukuh kumpulan disokong piawaian berkualiti tinggi memenuhi keperluan ketat projek infrastruktur serantau.


Pengarah Urusan UUE Holdings, Datuk Dr Ting Kok Hwa dalam satu kenyataan berkata, kontrak kerja awam tersebut adalah paling besar dalam sejarah syarikat berkenaan yang diperoleh di Singapura sejak ia ditubuhkan pada 2009.


“Kami berasa gembira mendapat kontrak terbaharu ini yang turut mencerminkan keyakinan tinggi diletakkan terhadap keupayaan kami dan memanfaatkan rekod prestasi kukuh dalam infrastruktur utiliti tenaga," katanya. - DagangNews.com