KUALA LUMPUR 17 Julai - Institut Sultan Iskandar (ISI-UTM) menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat penyelenggaraan jalan raya, Belati Wangsa (M) Sdn Bhd bagi merintis pembangunan Turapan Asfalt Kitar Semula (RAP) yang lebih mampan.
Produk itu dihasilkan daripada bahan buangan hasil pembaikian permukaan jalan rosak yang tidak lagi digunakan.
Gabungan teknologi asfalt mampan dan peralatan turapan inovatif itu dijangka mencetus revolusi dalam industri penyelenggaraan jalan raya dengan mengurangkan keperluan terhadap bahan binaan baharu yang mampu menjimatkan penggunaan bahan mentah, tenaga dan mengurangkan sisa pembinaan.
Kos penyelenggaraan jalan di Malaysia dianggarkan mencecah RM4 bilion setahun sejak lima tahun lalu dan pengguna semakin menuntut permukaan jalan yang kukuh, tahan lama, kos efektif dan mesra alam.
Naib Canselor UTM, Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, penyelenggaraan jalan mampan kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam sektor pembinaan.

“RAP mempunyai potensi besar untuk digunakan secara meluas. Ia terbukti lebih efektif dari segi kos berbanding asfalt campuran panas asli (HMA),” katanya dalam satu kenyataan.
Penyelidik UTM dari Kumpulan Penyelidikan Ekonomi Pembinaan, Undang-Undang dan Polisi (CELP) di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) serta Kumpulan Penyelidikan Turapan & Pengangkutan (PTRG) di Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) akan menyumbang kepakaran dalam bidang teknikal dan pembangunan model kos menyeluruh itu.
Pengarah Belati Wangsa, Mohamad Akmal Johari menyuarakan komitmen pihaknya terhadap pembangunan teknologi penyelenggaraan jalan yang lebih hijau dan berkesan.
“Kerjasama ini akan membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG), menyokong inisiatif karbon neutral dalam industri pembinaan negara.
"Sebagai syarikat berpengalaman luas, Belati Wangsa mempunyai tanggungjawab sosial untuk membangunkan rumusan teknologi inovatif yang berimpak tinggi dan memberi pulangan bermakna kepada kerajaan serta rakyat," katanya.
Sementara itu, Ketua Projek UTM dan pakar ekonomi pembinaan, Profesor Madya Sr Dr Sarajul Fikri Mohamed berkata, Kos Sepanjang Hayat Permukaan Jalan (WLCC) merupakan pendekatan berstruktur untuk menilai dan membandingkan aliran tunai sepanjang kitar hayat jalan daripada reka bentuk, operasi, penyelenggaraan hingga kepada kitar semula.
“Manfaat RAP bukan sekadar penjimatan kos semata-mata, tetapi juga menyumbang secara menyeluruh kepada ekonomi dan alam sekitar,” katanya.
Produk inovasi hasil kerjasama itu sedang dalam proses untuk dipatenkan secara bersama oleh UTM dan Belati Wangsa.- DagangNews.com








