USIM jalin kerjasama dengan Affin Islamic dan HPCS perkenal program MasjidPro | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

USIM jalin kerjasama dengan Affin Islamic dan HPCS perkenal program MasjidPro

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bekerjasama dengan Affin Islamic Bank Berhad dan HPCS Sdn. Bhd dalam memperkenalkan program USIM MasjidPro yang bertujuan memperkasakan pengurusan masjid dan surau di seluruh negara melalui transformasi digital.

 

Program itu dijayakan melalui anak syarikat milik penuh universiti tersebut, USIM Education and Skills Development Sdn. Bhd. (UESSB), yang bersama Affin Islamic dan HPCS menyediakan kepakaran teknikal, sumber dan pengetahuan untuk memacu pendigitalan rumah ibadat.

 

USIM MasjidPro menawarkan penjenamaan, pengiktirafan dan pengesahan USIM, bagi meningkatkan kredibiliti semua inisiatif digital masjid.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata, pelancaran USIM MasjidPro serta pemeteraian dua MoU itu mencerminkan komitmennya untuk memperkukuh ekosistem digital Islam melalui inovasi dan kerjasama strategik. 

 

“Selari dengan tonggak ‘Kepimpinan Digital’ di bawah Pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28), kami terus memacu inisiatif menyediakan penyelesaian kewangan digital inklusif kepada institusi pendidikan dan komuniti masjid, termasuk akaun perniagaan, sistem pembayaran dan penyelesaian gaji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

t

 

Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara ketiga-tiga pihak menetapkan peranan masing-masing dalam memudahkan ilmu pendidikan awam, pengurusan masjid, serta pemerkasaan komuniti melalui teknologi moden.

 

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Pengerusi Affin Islamic, Musa Abdul Malek dan wakil Ahli Lembaga Pengarah UESSB, Datuk Mohd Azmi Istamat.

 

Kolaborasi itu memastikan pengurusan masjid dan surau lebih sistematik, meningkatkan tadbir urus, serta memperkasakan peranan institusi masjid dalam komuniti. - DagangNews.com