KUALA LUMPUR 4 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Digital Nasional Berhad (DNB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan sandbox (kawasan khas ujian teknologi) sistem udara tanpa pemandu (UAS) berkuasa 5G pertama di Malaysia, khusus untuk menyokong operasi Beyond Visual Line of Sight (BVLOS), satu inovasi penting dalam teknologi dron masa depan.
Usaha strategik ini menyaksikan UPM menjadi universiti pertama di negara ini yang dilengkapi infrastruktur 5G terus daripada DNB.
Ia juga bakal mempercepatkan lagi inovasi teknologi dron masa nyata dengan mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian 5G untuk melonjakkan lagi pembangunan penyelesaian teknologi dalam sektor utama negara termasuk pertanian, mobiliti bandar dan penjagaan kesihatan.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, kerajaan sentiasa komited dalam memperkukuh ekosistem inovasi menyeluruh dan menyediakan platform praktikal kepada pelajar, penyelidik, syarikat pemula serta pengawal selia.
“Apa yang dahulunya kedengaran seperti fiksyen sains kini semakin hampir menjadi kenyataan.
“Dengan ekosistem yang betul, selamat, tersusun dan dikawal selia dengan baik, kita boleh mengubah sistem dan kenderaan udara tanpa pemandu daripada alat eksperimen kepada penyelesaian praktikal untuk manfaat awam,” katanya selepas merasmikan majlis memeterai MoU antara UPM dan DNB hari ini.
Melalui MoU itu, UPM akan membangunkan kampus ujian sebenar sistem udara tanpa pemandu disokong sambungan 5G dan keupayaan AI, meliputi empat zon utama iaitu mobiliti udara bandar, pertanian pintar, robotik autonomi dan penjagaan kesihatan digital.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail berkata, kerjasama ini mencerminkan visi bersama untuk membina ekosistem digital berdaya tahan dan inklusif, selain memperkasakan bakat tempatan.
“Gabungan rangkaian 5G nasional dengan kepakaran akademik UPM membolehkan pembangunan sistem UAV yang boleh diskalakan dan berupaya mengubah pelbagai industri,” katanya.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah pula berkata, UPM kini menjadi universiti pertama di negara ini dengan infrastruktur rangkaian 5G terus daripada DNB.
Beliau berkata, infrastruktur itu akan mempercepatkan lagi pelaksanaan penyelidikan, pengkomersialan inovasi serta pembangunan teknologi baharu dalam bidang AI, Internet Kebendaan (IoT) dan sistem automasi, terutama bagi sektor pertanian dan bioteknologi.
“Kemajuan ini menyokong matlamat utama UPM dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui inovasi lestari dan efisien.
“Inisiatif ini turut menyokong hasrat Kementerian Digital untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau teknologi masa depan, bertepatan dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025.
“Sandbox AI UPM dijangka menjadi contoh rujukan utama bagi pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) dunia sebenar yang beretika dan bertanggungjawab,” katanya.
Sebagai rakan teknologi, Ericsson akan membekalkan teknologi 5G canggih bagi menyokong sistem dron kritikal menerusi sambungan selamat dan khusus, memastikan telemetri masa nyata ke pusat kawalan tidak terganggu.
Sandbox ini juga akan beroperasi dengan kerjasama rapat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi memastikan semua operasi mematuhi peraturan ruang udara negara.
Kerjasama ini dijangka diperluas ke bidang logistik, pertanian tepat, keselamatan awam dan penjagaan kesihatan digital selari dengan visi menjadikan Malaysia sebuah negara digital berdaulat dan bersedia untuk masa depan. - DagangNews.com








