UOB Kay Hian syor pemegang saham sokong pengambilalihan PMB Technology oleh Press Metal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UOB Kay Hian syor pemegang saham sokong pengambilalihan PMB Technology oleh Press Metal

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos – UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd berpandangan cadangan Press Metal Aluminium Holdings Berhad membeli tambahan 35.6% kepentingan dalam PMB Technology Berhad (PMBT) pada harga RM0.70 sesaham adalah adil dan munasabah.

 

Dalam nasihat bebas yang dikeluarkan kepada pemegang saham Press Metal, UOB Kay Hian turut mengesyorkan mereka mengundi menyokong cadangan pengambilalihan itu pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan berlangsung pada 3 September depan. 

 

Cadangan itu membabitkan pembelian 664.22 juta saham PMBT dengan nilai keseluruhan RM464.95 juta. 

 

Selepas urus niaga selesai, pegangan Press Metal dalam PMBT akan meningkat daripada 23.2% kepada 58.8%, menjadikan PMBT anak syarikat Press Metal. 

 

Harga RM0.70 sesaham dilihat munasabah

Menurut UOB Kay Hian, harga RM0.70 sesaham adalah munasabah kerana ia 2.8% lebih rendah daripada nilai aset bersih PMBT sebanyak RM0.72 sesaham pada 31 Mac 2026.

 

Harga itu juga 60.8% lebih rendah berbanding harga terakhir saham PMBT pada 31 Julai 2026, selain lebih rendah antara 54.3% hingga 60.1% berbanding purata harga saham bagi tempoh lima hari hingga setahun. 

 

UOB Kay Hian berkata penilaian itu mengambil kira prestasi kewangan PMBT yang masih lemah. 

 

PMBT mencatat kerugian selepas cukai RM12.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan kerugian RM24.6 juta bagi tiga bulan berakhir 31 Mac 2026. 

 

Press Metal sebelum ini menjelaskan harga RM0.70 sesaham turut mengambil kira keadaan industri logam silikon yang mencabar susulan lebihan bekalan dan permintaan yang lebih rendah daripada sektor hiliran. 

 

PMBT akan tukar fokus kepada produk baharu

UOB Kay Hian turut melihat manfaat daripada rancangan Press Metal untuk mengubah operasi PMBT daripada pengeluaran logam silikon kepada pengeluaran aloi silikon-aluminium.

 

Menurutnya, Press Metal boleh menggunakan sebahagian daripada kilang, kemudahan dan bekalan elektrik PMBT sedia ada yang akan menjimatkan masa dan kos berbanding membina kemudahan baharu. 

 

Kos untuk menukar operasi itu dianggarkan sekitar RM600 juta dan akan dibiayai melalui pinjaman yang diambil oleh PMBT. Kerja penukaran dijangka siap pada suku pertama 2027, manakala PMBT dijangka mula menyumbang keuntungan kepada kumpulan Press Metal pada suku kedua tahun sama. 

 

UOB Kay Hian berpandangan langkah itu berpotensi memberi kesan positif kepada kumpulan Press Metal kerana ia membolehkan syarikat memperluas kapasiti pengeluaran aloi silikon-aluminium.

 

Risiko masih perlu diberi perhatian

Bagaimanapun, UOB Kay Hian turut mengingatkan terdapat beberapa risiko termasuk kemungkinan urus niaga tidak dapat diselesaikan, manfaat yang dijangka tidak tercapai, peningkatan komitmen kewangan serta risiko berkaitan perniagaan. 

 

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah Press Metal tidak akan memiliki 100% PMBT selepas pengambilalihan. Oleh itu, manfaat daripada pengambilalihan dan penukaran operasi hanya akan diterima Press Metal mengikut kadar pegangan sahamnya dalam PMBT. 

 

PMBT juga masih mencatat kerugian. Selepas menjadi anak syarikat Press Metal, prestasi kewangan PMBT akan dimasukkan ke dalam akaun kumpulan Press Metal. 

 

Ini bermakna sebarang kerugian PMBT pada masa hadapan turut akan memberi kesan kepada kumpulan tersebut. 

 

Nisbah hutang kepada ekuiti meningkat, tetapi masih terkawal

UOB Kay Hian menganggarkan nisbah hutang kepada ekuiti (gearing) Press Metal akan meningkat daripada 0.37 kali kepada 0.43 kali selepas pinjaman PMBT digabungkan ke dalam akaun kumpulan.

 

Bagaimanapun, UOB Kay Hian berpandangan peningkatan itu masih boleh diurus dan tidak memberi kesan buruk yang ketara kepada Press Metal kerana parasnya kekal pada tahap yang sihat. 

 

Dari segi keuntungan pula, pengambilalihan itu dijangka tidak memberi kesan besar kepada pendapatan dan pendapatan sesaham Press Metal bagi FY2026 kerana transaksi dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini.

 

Sumbangan positif PMBT kepada keuntungan kumpulan hanya dijangka bermula pada suku kedua 2027 selepas proses penukaran operasinya selesai. 

 

Secara keseluruhan, selepas mengambil kira harga pembelian, rancangan penukaran operasi, prospek PMBT, risiko dan kesan kewangan kepada Press Metal, UOB Kay Hian berpandangan cadangan itu adil dan munasabah. - DagangNews.com