UOB, Bursa Malaysia jalin kerjasama perkukuh usaha kelestarian PKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UOB, Bursa Malaysia jalin kerjasama perkukuh usaha kelestarian PKS

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Mei - UOB Malaysia bekerjasama dengan Bursa Malaysia Berhad untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengamalkan perniagaan mampan serta mengurangkan pelepasan karbon.

 

Kerjasama itu adalah sebahagian daripada program Sustainability Accelerator Programme (SAP) 2.0, lanjutan daripada edisi pertamanya pada 2023 yang membantu PKS memahami aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui alat seperti Kompas Kelestarian UOB dan pembiayaan khusus seperti U-Energy, U-Solar dan U-Drive.  

 

Di bawah SAP 2.0, PKS boleh mengakses Rumusan Perisikan Kelestarian Berpusat (CSI) Bursa Malaysia untuk memudahkan pengiraan pelepasan karbon dan pelaksanaan rumusan bebas gas rumah hijau.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya berbangga menjadi bank pertama bekerjasama dengan Bursa Malaysia.

 

"Melalui SAP 2.0, kami akan membiayai yuran langganan CSI untuk PKS. 

 

"Laporan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sering menjadi halangan, jadi kami ingin membantu PKS mengira dan melaporkannya dengan lebih mudah," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed pula berkata, kerjasama tersebut penting untuk memperluas manfaat CSI kepada PKS. 

 

"Sebelum ini, CSI membantu syarikat tersenarai memenuhi amalan ESG. Kini, PKS juga boleh memajukan usaha kelestarian mereka," jelasnya.

 

Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

 

Platform CSI Bursa Malaysia membantu syarikat memenuhi piawaian pelaporan antarabangsa seperti IFRS S1 & S2.  

 

PKS juga perlu bersedia menghadapi keperluan pelaporan baharu termasuk Pelepasan Skop 3 iaitu pelepasan tidak langsung dari rantaian bekalan, penggunaan produk dan pengangkutan yang akan diwajibkan secara berperingkat mulai 2027.

 

Selain Bursa Malaysia, UOB juga bekerjasama dengan Control Union dan DHL Express Malaysia dalam bidang seperti pensijilan hijau, logistik mesra alam dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

 

Usaha berkenaan menunjukkan komitmen UOB Malaysia dalam membantu PKS menjadi lebih mampan dan menyumbang ke arah masa depan yang lebih hijau dan menyeluruh. - DagangNews.com