KUALA LUMPUR 28 Mei - Penganalisis masih yakin dengan prestasi Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (STMB) walaupun keuntungan suku pertama 2025 syarikat itu sedikit rendah akibat cukai yang lebih tinggi daripada jangkaan.
RHB Research masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham STMB, tetapi menurunkan harga sasaran daripada RM4.60 kepada RM4.10.
Ramalan pendapatan juga dikurangkan sebanyak 4% bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 kerana cukai kini dijangka 35%, berbanding 32% sebelum ini.
Menurut RHB Research, STMB tetap menjadi pilihan utamanya kerana kurang terkesan oleh perubahan peraturan dalam insurans dan takaful perubatan, memandangkan industri dijangka berdepan penurunan pendapatan pelaburan.
"Prestasi kukuh STMB dalam perniagaan baharu pada suku pertama 2025 turut menunjukkan syarikat ini tidak terkesan dengan kenaikan harga premium produk takaful dan insurans kesihatan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, ia adalah kerana produk takaful dan insurans kesihatan hanya menyumbang sekitar 9% daripada jumlah sumbangan kasar STMB pada tahun 2024.
Firma penyelidikan tersebut bagaimanapun menjangka, pendapatan pelaburan STMB mungkin terjejas pada tahun 2025 jika pasaran terus tidak menentu.
"Kami percaya syarikat masih boleh mencatat pertumbuhan pendapatan sekitar 5% hingga 6%, disokong usaha mengawal tuntutan yang membantu meningkatkan keuntungan operasi," ujarnya.
Sementara itu, CIMB Securities mengekalkan ramalan pendapatan bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 serta harga sasaran RM4.60.
Katanya, prestasi pendapatan STMB akan disokong oleh permintaan yang kuat terhadap produk berkaitan kredit, yang menyumbang kira-kira 75% daripada jumlah sumbangan takaful keluarga.
"Permintaan ini dijangka meningkat dipacu oleh segmen takaful bank yang menyumbang kira-kira 65% daripada jumlah sumbangan, serta sokongan daripada saluran Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam," tambahnya.
CIMB Securities juga menyatakan, pada harga semasa, saham STMB dijual pada kadar 1.2 kali ganda nilai buku untuk tahun kewangan 2026, iaitu kira-kira 40% lebih rendah berbanding purata lima tahun sebanyak dua kali.
Menurutnya, harga rendah itu tidak wajar kerana STMB mencatat pulangan ekuiti yang tinggi sebanyak 19%, iaitu lebih baik antara 2.2 hingga 6.8 mata peratus berbanding pesaing seperti LPI Capital Bhd dan Allianz Malaysia Bhd.
Selain itu, sumbangan takaful STMB juga menunjukkan pertumbuhan yang kukuh. - DagangNews.com








