Untung Scientex Packaging bagi Q4FY2025 naik sederhana kepada RM7.4 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung Scientex Packaging bagi Q4FY2025 naik sederhana kepada RM7.4 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Sept – Scientex Packaging Bhd terus mengekalkan keuntungan meskipun berdepan suasana pasaran global yang mencabar, dengan mencatatkan untung bersih lebih tinggi pada suku keempat berakhir 30 Jun 2025 (4QFY25).

 

Syarikat itu berkata, ia menjangkakan sentimen pasaran antarabangsa kekal lembap pada tahun depan ekoran ketidaktentuan geopolitik, tekanan inflasi serta faktor luaran lain yang mengekang pertumbuhan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Scientex Packaging berkata, meskipun berdepan cabaran global, syarikat menunjukkan prestasi kewangan yang sederhana apabila keuntungan bersih suku keempat meningkat kepada RM7.4 juta berbanding RM6.81 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

“Namun begitu, hasil syarikat mencatatkan sedikit penurunan kepada RM176.17 juta daripada RM181.84 juta setahun lalu. 

 

“Pendapatan sesaham pula meningkat kepada 2.12 sen berbanding 1.94 sen sebelumnya, mencerminkan kecekapan operasi yang lebih baik,” katanya.

 

Bagi segmen jualan, eksport syarikat menyumbang sebanyak RM81.6 juta atau 46.3% daripada jumlah keseluruhan, manakala baki RM94.57 juta atau 53.7% disumbangkan oleh pasaran domestik.

 

Scientex Packaging berkata, keuntungan operasi syarikat menyusut sedikit kepada RM10.41 juta berbanding RM10.71 juta pada suku keempat tahun kewangan sebelumnya, disebabkan kerugian penurunan nilai aset bernilai RM1.56 juta hasil penutupan operasi di Myanmar.

 

Bagaimanapun, Scientex Packaging menjelaskan, tanpa mengambil kira impak tersebut, keuntungan operasi sebenar syarikat sebenarnya meningkat 11.8% hasil pelaksanaan langkah penjimatan kos.

 

“Sepanjang tahun kewangan penuh, syarikat merekodkan keuntungan bersih RM26.88 juta, menurun daripada RM32.55 juta pada tahun kewangan sebelumnya. 

 

“Hasil pula sedikit merosot kepada RM712.2 juta berbanding RM713.51 juta pada FY24,” katanya.

 

Syarikat itu yang menghentikan sepenuhnya operasi pengeluaran di Myanmar sejak Jun 2025 kini sedang menguruskan perkara berkaitan penutupan tersebut.

 

“Walaupun berdepan ketidaktentuan global, kumpulan kekal komited untuk meningkatkan daya saing serta mendorong prestasi mapan pada tahun kewangan akan datang.

 

“Prospek jangka sederhana akan bergantung kepada keberkesanan strategi pengurusan kos serta keupayaan syarikat mengekalkan pasaran eksport dan domestik secara seimbang,” katanya. - DagangNews.com