KUALA LUMPUR 5 Mei – Keuntungan Ramssol Group Bhd dijangka meningkat pada tahun kewangan akan datang, didorong permintaan yang semakin meningkat terhadap rumusan pengurusan modal insan (HCM) di seluruh rantau ASEAN.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata, Ramssol turut dijangka meraih manfaat daripada prospek pendapatan yang kukuh dalam segmen Teknologi Kecerdasan Buatan (AI Tech) dan Teknologi Automotif (Auto Tech).
"Permintaan terhadap HCM semakin meningkat, hasil daripada proses pendigitalan yang berterusan dan sokongan dasar kerajaan.
"Kami menjangkakan keuntungan Ramssol berkembang 28.6% dalam tempoh tiga tahun, disokong pertumbuhan jualan People Tech, AI Tech, dan penyertaan pertama Auto Tech," kata HLIB dalam satu nota penyelidikan.
Inisiatif baharu seperti Pay Day Now dan Rider Gate turut menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan.
Pada September 2024, Ramssol menjalinkan kerjasama strategik dengan Kumpulan AmBank bagi menawarkan perkhidmatan 'Earned Wage Access' kepada pekerja syarikat korporat melalui platform 'Pay Day Now'.
Syarikat menjangkakan ramai pelanggan akan menggunakan perkhidmatan tersebut kerana ia boleh membantu majikan menarik dan mengekalkan pekerja tanpa perlu membayar apa-apa kos permulaan.
HLIB menjangkakan perkhidmatan itu berpotensi meraih hasil antara RM100,000 hingga RM1.2 juta sebulan, bergantung kepada kekerapan pengeluaran pengguna dan menyifatkan platform tersebut sebagai alat strategik menarik dan mengekalkan bakat tanpa kos pendahuluan.
"Gabungan pelanggan sedia ada Ramssol dan rangkaian luas AmBank membuka ruang luas kepada skala pertumbuhan yang signifikan bagi Pay Day Now," katanya.
Menerusi penilaian berasaskan harga kepada pendapatan (P/E), HLIB meletakkan unjuran P/E sebanyak 22 kali berdasarkan pendapatan sesaham tahun kewangan 2026 (FY26) iaitu 5.5 sen, sekali gus menetapkan harga sasaran saham Ramssol pada RM1.21.- DagangNews.com








