Untung bersih UOA Development naik kepada RM91.7 juta pada 2QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih UOA Development naik kepada RM91.7 juta pada 2QFY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - UOA Development Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih RM91.7 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) berbanding RM61.1 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong sumbangan progresif daripada pembangunan yang sedang berjalan dan penjimatan kos daripada penyiapan projek Laurel Residence.

 

Kumpulan itu berkata, hasil juga meningkat kepada RM130.2 juta berbanding RM99.2 juta pada 2QFY24.

 

"Hasil kumpulan itu sebahagian besarnya datang daripada pengiktirafan progresif projek pembangunan yang sedang dijalankan iaitu Bamboo Hills Residences, Aster Hill, pusat perubatan di Bangsar South, dan Laurel Residence," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Untung bersih kumpulan itu bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25) meningkat kepada RM165.7 juta berbanding RM110.8 juta disokong peningkatan hasil kepada RM282.3 juta berbanding RM169.5 juta pada 1HFY24.

 

Kumpulan itu berkata, jualan hartanah baharu bagi tempoh berakhir 30 Jun 2025 berjumlah RM413 juta, dengan Bamboo Hills Residences, Laurel Residence, Aster Hill dan Duo Tower menyumbang sebahagian besar daripada transaksi tersebut.

 

Katanya, jualan belum dibil berjumlah RM888.1 juta pada akhir suku, yang akan diiktiraf secara berperingkat apabila projek-projek itu mencapai penyiapan dalam tahun-tahun akan datang.

 

"Kami kekal komited untuk meneroka tanah strategik yang selari dengan matlamat kumpulan dan dapat memperkukuh lagi hala tuju strategiknya," katanya.- DagangNews.com