KUALA LUMPUR 28 Ogos – Keuntungan bersih Tropicana Corp Bhd merosot 97.14% kepada RM1.25 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY2025), berbanding RM43.57 juta pada tempoh sama tahun lalu ekoran pendapatan berulang lebih rendah selepas penjualan beberapa hartanah pelaburan sebelum ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Tropicana berkata, pendapatan sesaham turut jatuh kepada 0.05 sen berbanding 1.92 sen setahun lalu, manakala hasil suku tersebut menyusut 14.17% tahun ke tahun kepada RM330.18 juta daripada RM384.7 juta sebelumnya.
Tiada dividen diisytiharkan.
Bagi separuh pertama FY25 (1HFY25), keuntungan bersih juga menyusut 92.57% kepada RM2.56 juta daripada RM34.49 juta manakala hasil susut 12.64% kepada RM590.54 juta berbanding RM675.97 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pemaju hartanah itu berkata, kos kewangan kumpulan menurun sepanjang suku tersebut hasil strategi mengurangkan hutang melalui penjualan aset.
“Syarikat merekodkan jualan belum dibilkan berjumlah RM2.1 bilion serta memiliki simpanan tanah 540.7 hektar dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) RM168.4 bilion.
“Daripada jumlah itu, projek bernilai RM6.5 bilion sedang dirancang, merangkumi tiga di Johor, tiga di Lembah Klang, tiga di Genting Highlands dan satu di Langkawi,” kata Tropicana.
Mengulas prospek, Tropicana menjangka pasaran hartanah Malaysia kekal sihat dengan pertumbuhan sederhana pada 2025, selaras unjuran Persatuan Penilai, Pengurus Hartanah, Ejen Hartanah dan Perunding Hartanah (PEPS) yang menjangkakan kenaikan harga antara 2% hingga 5%.
Selain itu, pengurangan 25 mata asas dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mewujudkan persekitaran kondusif kepada pembeli rumah dan pelabur, melalui kos pinjaman yang lebih rendah serta akses pemilikan rumah yang lebih mudah. - DagangNews.com








