Untung bersih Samaiden bagi FY25 melebihi jangkaan didorong kemajuan projek CGPP, kata Affin Hwang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Samaiden bagi FY25 melebihi jangkaan didorong kemajuan projek CGPP, kata Affin Hwang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Untung bersih Samaiden Group Bhd bagi tahun kewangan 2025 (FY25) melebihi jangkaan, kata Affin Hwang Investment Bank

 

Katanya, keuntungan bersih kumpulan itu meningkat RM7.07 juta berbanding RM5.81 juta dan ia lebih tinggi daripada unjuran mereka tetapi secara keseluruhannya selari dengan jangkaan pasaran. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan keuntungan berturut-turut pada suku keempat (4QFY25) didorong oleh pengebilan kemajuan yang dipercepatkan daripada projek Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) serta kadar cukai efektif yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

"Kami menjangkakan tahap prestasi ini akan dapat dikekalkan sehingga FY26, disokong oleh sumbangan daripada projek CGPP dan juga projek tenaga solar berskala besar fasa 5 (LSS5)," katanya dalam satu nota kajian.

 

Affin Hwang berkata, buku tempahan semasa Samaiden melonjak kepada RM699 juta, meningkat daripada RM442 juta pada akhir Mac.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Samaiden catat rekod FY2025, buku pesanan cecah RM699.2 juta

 

Peningkatan itu susulan kejayaan Samaiden memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM290 juta daripada Unique HEB Energy bagi loji solar PV berkapasiti 95 megawatt (MW) di bawah program LSS5.

 

Setakat ini, Samaiden telah memperoleh tiga kontrak LSS5 dengan jumlah keseluruhan RM436 juta, manakala baki buku pesanannya terdiri daripada projek-projek CGPP.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.50 sesaham," katanya.

 

Sementara itu, TA Securities menyukai Samaiden sebagai antara penerima manfaat utama dalam kitaran loji tenaga boleh diperbaharui (RE), yang disokong oleh buku tempahan kukuh, kedudukan tunai bersih yang kuat, serta saluran projek RE yang mantap untuk meningkatkan pendapatan berulang. 

 

Katanya, ia turut disertai dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) keuntungan selama tiga tahun yang kukuh sebanyak 28% sehingga FY28.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemangkin utama kumpulan itu termasuk penganugerahan kontrak EPCC di bawah LSS5 dan LSS5+, penganugerahan kontrak di bawah program CRESS/CREAM serta perolehan aset penjanaan tenaga baharu di bawah LSS5+ dan CRESS.

 

"Bagaimanapun, antara risiko yang bakal dihadapi termasuk kenaikan kos bahan mentah seperti modul solar dan kelewatan pelaksanaan projek.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM1.47 sesaham," katanya.- DagangNews.com