KUALA LUMPUR 16 Dis – Poh Kong Holdings Berhad mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 85.6% bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2025 (1QFY2026) disokong kenaikan harga emas serta permintaan kukuh terhadap barangan kemas dan produk pelaburan emas.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Poh Kong berkata, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM39.61 juta berbanding RM21.34 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
“Hasil pula meningkat 33.6% kepada RM439.94 juta daripada RM329.28 juta,” katanya dalam makluman tersebut.
Margin keuntungan kasar turut bertambah baik kepada 25% berbanding 22.6% sebelum ini, mencerminkan kecekapan operasi yang lebih tinggi susulan peningkatan volum jualan dan harga emas.
Poh Kong merekodkan keuntungan operasi sebanyak RM54.99 juta hampir dua kali ganda berbanding RM28.99 juta setahun lalu, sementara keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM53.25 juta.
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM1.29 bilion setakat 31 Oktober 2025 berbanding RM1.25 bilion pada akhir Julai 2025, dipacu terutamanya oleh peningkatan inventori kepada RM1.04 bilion selaras dengan harga emas yang lebih tinggi.
Ekuiti pemegang saham juga mengukuh kepada RM1.02 bilion dengan aset bersih sesaham meningkat kepada RM2.49 daripada RM2.40 sebelum ini.
Segmen perdagangan kekal sebagai penyumbang utama keuntungan, mencerminkan prestasi kukuh rangkaian runcit kumpulan, manakala segmen pembuatan dan lain-lain turut menunjukkan pertumbuhan selari dengan peningkatan permintaan pasaran.
Dalam kenyataan prospek, Poh Kong berkata, industri barang kemas emas Malaysia menunjukkan pertumbuhan dan daya tahan yang kukuh sepanjang 2025, disokong permintaan domestik serta antarabangsa.
Kumpulan itu menjangkakan aliran kenaikan harga emas akan berterusan sehingga 2026 disokong oleh pembelian emas berterusan oleh bank pusat, perbelanjaan pengguna yang stabil serta aliran masuk aset selamat susulan ketidaktentuan geopolitik global.
“Melainkan berlaku keadaan luar jangka, lembaga pengarah yakin kumpulan telah melaksanakan langkah mencukupi untuk menghadapi cabaran bagi tahun kewangan akan datang,” katanya.
Tiada dividen diisytiharkan bagi suku tahun berkenaan. - DagangNews.com








