Untung bersih PETRONAS Dagangan pada 1HFY25 naik 11.3% kepada RM559.03 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih PETRONAS Dagangan pada 1HFY25 naik 11.3% kepada RM559.03 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Untung bersih PETRONAS Dagangan Berhad pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25) naik 11.3% kepada RM559.03 juta berbanding RM502.43 juta pada tahun sebelumnya didorong kecemerlangan operasi selain perbelanjaan yang lebih rendah walaupun berdepan persekitaran pasaran mencabar.

 

Bagaimanapun hasil kumpulan pada 1HFY25 merosot kepada RM18.16 bilion berbanding RM19.23 bilion pada 1HFY24.

 

"Di sebalik tekanan luaran, jumlah jualan keseluruhan kekal stabil, disokong permintaan kukuh dalam segmen komersial, terutamanya bahan api penerbangan dan diesel. 

 

"Ini mengimbangi prestasi runcit yang lebih lemah, di mana jumlah jualan menurun sejajar dengan normalisasi aktiviti perjalanan dan perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, untung bersih PETRONAS Dagangan bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2025 (2QFY25) susut sebanyak 3.9% kepada RM265.53 juta daripada RM276.39 juta pada tahun sebelumnya, disebabkan prestasi segmen runcit yang lemah yang mengatasi pertumbuhan dalam bahagian komersial dan kemudahan.

 

Pendapatan suku tahunan menurun sebanyak 7.9% kepada RM9.07 bilion daripada RM9.84 bilion pada tahun sebelumnya, apabila jumlah jualan runcit berkurangan akibat normalisasi corak perjalanan, dengan Malaysia mencatat lebih banyak hari perayaan pada suku pertama.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dgangan, Azrul Osman Rani berkata, segmen Komersial kekal kukuh dengan memenuhi permintaan secara konsisten, manakala segmen runcit dibangunkan untuk jangka masa panjang melalui pelaburan yang disasarkan, penglibatan berasaskan kesetiaan pelanggan serta pengalaman pelanggan yang berbeza. 

 

Beliau berkata, dinamik perdagangan yang berubah dan ketegangan geopolitik yang berterusan akan terus mempengaruhi prospek global. 

 

Katanya, di peringkat domestik, ekonomi Malaysia dijangka kekal stabil, disokong oleh permintaan yang kukuh dan dasar yang berkesan. 

 

"Dalam menghadapi landskap ini, PETRONAS Dagangan akan terus memantau dinamik pasaran dengan teliti dan melaksanakan strategi yang disasarkan, sambil terus berwaspada terhadap kos dan peka terhadap sebarang ketidaktentuan," katanya. - DagangNews.com