KUALA LUMPUR 8 Mei - Untung bersih Pentamaster Corp Berhad bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) susut 32.5% kepada RM13.06 juta berbanding RM19.37 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan hasil lebih rendah serta perubahan campuran jualan yang direkodkan.
Kumpulan itu berkata, hasil pada suku berkenaan juga merosot kepada RM131.6 juta berbanding RM170.79 juta pada 1QFY24.
Katanya, hasil daripada segmen peralatan ujian automatik (ATE) meningkat sebanyak RM23.2 juta daripada RM73.2 juta pada suku yang sama sebelumnya kepada RM96.4 juta pada 1QFY25 didorong oleh penghantaran projek yang lebih tinggi kepada segmen automotif, semikonduktor dan elektro-optik.
"Segmen semikonduktor muncul sebagai penyumbang hasil kedua terbesar pada suku tersebut pada 26.6% berbanding 13.4% pada 1QFY24, mewakili peningkatan sebanyak 160.2% dalam segmen ATE.
"Walaupun pasaran semikonduktor yang lebih luas kekal bercampur-campur, pendedahan kumpulan kepada segmen berprestasi tinggi seperti IC termaju, memori dan produk logik telah menyokong aliran menaik ini.
"Dengan pelaburan berterusan dalam platform ujian generasi akan datang, segmen ATE kekal pada kedudukan yang baik untuk membuka peluang pertumbuhan baharu dan mengukuhkan kelebihan daya saingnya dalam pasaran dipacu teknologi utama," katanya dalam satu nota kajian.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, ketidaktentuan makroekonomi yang berterusan dan ketegangan geopolitik menyebabkan beberapa pelanggan kumpulan menggunakan pendekatan tunggu dan lihat dalam pelaburan mereka.
Katanya, sentimen ini telah menyebabkan beberapa tahap penangguhan dalam penempatan pesanan atau penambahan, terutamanya dalam sektor yang sensitif kepada kitaran perbelanjaan modal.
"Persekitaran perdagangan global yang mencabar ini diburukkan lagi dengan langkah tarif baru-baru ini yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) yang telah meningkatkan ketegangan perdagangan global.
"Akibatnya, kumpulan mengalami penambahan buku pesanan yang lebih perlahan daripada jangkaan, yang mungkin menjejaskan momentum penukaran pesanan dalam jangka masa terdekat, ditambah lagi dengan strategi rantaian bekalan global yang berubah," katanya. - DagangNews.com








