Untung bersih MyNews pada 3QFY25 naik kepada RM6.43 juta didorong penambahan 53 cawangan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih MyNews pada 3QFY25 naik kepada RM6.43 juta didorong penambahan 53 cawangan baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - Untung bersih MyNews Holdings Berhad pada suku ketiga berakhir 31 Julai 2025 (3QFY25) naik kepada RM6.43 juta berbanding RM2.63 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong peningkatan jualan serta pertambahan 53 cawangan baharu.

 

Katanya, penambahan itu menjadi jumlah keseluruhannya sebanyak 679 cawangan pada akhir Julai 2025.

 

Hasil kumpulan itu juga naik kepada RM230.94 juta berbanding RM207.45 juta pada 3QFY24.

 

"Perbelanjaan jualan dan pengedaran bagaimanapun meningkat sebanyak RM6.34 juta atau 15.7%, daripada RM40.32 juta kepada RM46.66 juta sebahagiannya disebabkan kenaikan gaji minimum, peluasan cukai jualan & perkhidmatan (SST) serta peluasan rangkaian kedai.

 

"Perbelanjaan lain mencatatkan peningkatan sederhana sebanyak RM560,000 atau 2.6% meningkat sedikit daripada RM21.38 juta kepada RM21.94 juta, yang didorong caj susut nilai yang lebih tinggi berkaitan dengan aset," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, pihaknya secara berterusan memperkenalkan rangkaian produk yang selaras dengan cita rasa tempatan, mempromosikan kelestarian, serta menawarkan pengalaman yang berbeza daripada sekadar transaksi biasa. 

 

Katanya, pengguna semakin beralih kepada pembayaran tanpa tunai dan syarikat juga sedang berusaha memperkenalkan cawangan 100% tanpa tunai di lokasi tertentu.

 

Sehubungan dengan pengumuman kerajaan baru-baru ini, semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas menerima bantuan sebanyak RM100 melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), MyNews melancarkan kempen promosi bersasar di seluruh rangkaian kedainya untuk memanfaatkan jangkaan peningkatan perbelanjaan pengguna.

 

Katanya, dengan menyelaraskan strategi pemasaran kepada insentif tunai ini, MyNews menyasarkan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke kedai, mempromosikan produk keperluan berorientasikan nilai serta mengukuhkan kesetiaan pelanggan merentasi semua demografi.

 

Usaha kempen merangkumi promosi khas bagi barangan keperluan, tawaran khusus, diskaun eksklusif dan aktiviti di dalam kedai untuk menyerlahkan produk yang layak di semua jenama. 

 

"Kumpulan itu melihat ia sebagai peluang strategik untuk memperluaskan capaian pelanggan sambil menyokong matlamat kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia," katanya.- DagangNews.com