KUALA LUMPUR 28 Ogos - Untung bersih Mulpha International Berhad melonjak lebih enam kali ganda kepada RM270.9 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) berbanding RM43.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong jualan pegangan 15.8% dalam syarikat Aveo Group, Hydra RL TopCo Pty Ltd, pada harga A$339.3 juta (RM936.5 juta).
Bagaimanapun, hasil kumpulan merosot 21.8% kepada RM201.6 juta daripada RM257.9 juta disebabkan prestasi lebih perlahan dalam beberapa segmen utama.
Katanya, pendapatan pembangunan hartanah susut kepada RM25.96 juta berikutan jualan perlahan bagi projek di Australia dan Johor.
"Pendapatan hospitaliti pula merosot kepada RM15.7 juta disebabkan turun naik tukaran mata wang, meskipun hotel-hotel utama mencatatkan prestasi lebih baik.
"Pendapatan pelaburan hartanah juga menurun kepada RM6.53 juta susulan penjualan sebuah hartanah di Australia," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25), untung bersih kumpulan melonjak kepada RM266.8 juta berbanding RM36.2 juta pada tahun sebelumnya, manakala hasil turun 18% kepada hampir RM413 juta daripada RM503.7 juta sebelum ini.
Bagi separuh kedua 2025, Mulpha menjangkakan hotel InterContinental Sydney, yang merekodkan kadar penginapan 87% pada suku kedua, kekal kukuh, manakala Hayman Island dijangka mengalami tempahan lebih rendah pada musim luar puncak. Sanctuary Cove pula dijangka terus menerima permintaan daripada penganjuran persidangan.
Mengenai perniagaan hospitaliti, kumpulan berkata, tumpuan kini diberikan kepada kawalan kos susulan perbelanjaan pengguna yang lebih ketat. Lokasi seperti Swing City serta acara perkahwinan dan majlis di Bimbadgen membantu mengimbangi tekanan tersebut.
Bagi bahagian hartanah, Mulpha menjangka harga lebih tinggi akan memperlahankan jualan, tetapi permintaan dijangka meningkat apabila dua projek besar siap pada separuh kedua 2025. Kekangan bekalan serta penurunan kadar faedah baru-baru ini dijangka menyokong harga dan meningkatkan kemampuan pemilikan.
"Berdasarkan kepada pasaran semasa, pemaju kecil dan sederhana tidak komited untuk melaksanakan projek baharu berikutan kos pembinaan dan kekangan pembiayaan, selain ramai kontraktor berdepan tekanan kewangan, termasuk ada yang terpaksa gulung tikar.
"Tekanan kos ini turut memberi kesan kepada projek Mulpha, dengan tumpuan khusus diberikan kepada reka bentuk yang lebih cekap serta penambahbaikan dalam perolehan bahan utama," katanya.- DagangNews.com








