Untung bersih Malayan Flour Mills pada 1QFY25 susut kepada RM33.1 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Malayan Flour Mills pada 1QFY25 susut kepada RM33.1 juta

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 21 Mei – Untung bersih Malayan Flour Mills Bhd (MFM) pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) susut kepada RM33.1 juta berbanding RM37.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan kerugian daripada usaha sama di Indonesia, PT Bungasari Flour Mills.

 

Usaha sama MFM di Indonesia menerusi pegangan 30% dalam PT Bungasari Flour Mills Indonesia mencatatkan kerugian bersih RM1.7 juta, lebih baik berbanding kerugian RM9.4 juta pada 4QFY24, namun jauh lebih rendah berbanding keuntungan RM25.3 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu susulan jualan gandum diproses luar biasa.

 

Kedua-dua segmen teras kumpulan, perdagangan tepung dan bijirin (FGT) dan ternakan ayam bersepadu (PI) bagaimanapun mencatatkan peningkatan hasil dan volum jualan, disokong kos input lebih rendah.

 

Segmen FGT yang merangkumi operasi di Malaysia dan Vietnam, bersama perniagaan makanan akuakultur, mencatatkan untung bersih RM35.4 juta berbanding RM36.6 juta tahun lalu, meskipun harga jualan lebih rendah. 

 

Pendapatan segmen meningkat 7.1% kepada RM784.4 juta daripada RM732.6 juta, menunjukkan permintaan berterusan terhadap produk tepung kumpulan di kedua-dua negara tersebut.

 

Segmen PI yang dikendalikan melalui 51% dimiliki Dindings Tyson Sdn Bhd kembali mencatat keuntungan selepas mengalami kerugian tahun lalu, dengan untung bersih berjumlah RM7.4 juta berbanding kerugian bersih RM2.4 juta sebelum ini. 

 

MFM merekodkan bahagian keuntungan RM3.8 juta, berbanding kerugian RM1.2 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Pengarah Urusan dan Timbalan Pengerusi Eksekutif MFM, Teh Wee Chye berkata, prestasi kedua-dua segmen utama kumpulan menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan secara tahunan jika tidak mengambil kira operasi di Indonesia.

 

"Pasaran tepung Indonesia masih berdepan tekanan margin, namun kami yakin ia sedang pulih secara beransur-ansur. Malah, operasi ayam semakin kukuh, didorong permintaan meningkat khususnya daripada saluran restoran makanan segera (QSR).

 

"Kehadiran semula pengguna dan aktiviti perkhidmatan makanan turut menyokong pemulihan volum serta margin," katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), kumpulan memperuntukkan RM215 juta perbelanjaan modal (capex) bagi menyokong peluasan kapasiti, pemodenan fasiliti, serta automasi operasi dalam segmen tepung dan ayam.

 

Langkah itu sejajar strategi MFM untuk memperkukuh daya saing dan menjamin kelestarian perniagaan dalam industri makanan ruji dan protein.

 

"Kami akan terus manfaatkan kestabilan rantaian bekalan dan harga bahan mentah untuk meningkatkan kecekapan operasi kilang tepung. Segmen PI pula sedang disusun semula untuk merebut peluang pertumbuhan dalam pasaran domestik dan eksport," tambah Wee Chye.- DagangNews.com