Untung bersih LPI Capital pada 2QFY25 naik 6.7% kepada RM83.17 juta dipacu segmen insurans am | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih LPI Capital pada 2QFY25 naik 6.7% kepada RM83.17 juta dipacu segmen insurans am

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Untung bersih LPI Capital Berhad meningkat sebanyak 6.7% kepada RM83.17 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) berbanding RM78 juta bagi suku sama tahun sebelumnya dipacu segmen insurans am.

 

Hasil kumpulan turut meningkat kepada RM507.63 juta berbanding RM469.40 juta pada 2QFY24.

 

Prestasi yang lebih baik ini didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen insurans am, yang mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 8.9% kepada RM111.4 juta berbanding RM102.3 juta sebelum ini, terutamanya disokong oleh keuntungan nilai saksama bersih sebanyak RM10.5 juta.

 

Bagi separuh pertama tahun 2025 (1HFY25), syarikat itu berkata, untung bersih meningkat kepada RM181.14 juta berbanding RM179.29 juta pada 1HFY24, manakala hasil meningkat RM1.02 bilion berbanding RM939.16 juta sebelum ini.

 

Syarikat turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 30.0 sen sesaham, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM119.5 juta, mewakili 66% daripada keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham.

 

Memandangkan jangkaan kelembapan ekonomi global dan ketidaktentuan geopolitik, LPI berkata ia akan menyusun semula strategi pada 2HFY25 bagi mengukuhkan daya tahan, melindungi keuntungan dan merebut sebarang peluang yang muncul.

 

"Pelan yang disemak semula itu akan memberi tumpuan kepada penetapan harga berasaskan risiko, kecekapan operasi, pengurusan pelaburan yang berhemat dan hubungan pelanggan yang lebih kukuh,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu akan mempercepatkan automasi dalam proses taja jamin insurans, pengeluaran polisi dan tuntutan. 

 

Katanya, proses analitik berkuasa AI akan diteroka untuk pembahagian pelanggan dan jualan silang, manakala AI juga akan digunakan secara lebih meluas untuk pengesanan awal penipuan dan pengurusan tuntutan yang lebih baik.

 

"Daya tahan, ketangkasan dan disiplin akan menjadi kompas kumpulan bagi 2HFY25. Dengan menyesuaikan diri secara pantas terhadap ketidaktentuan luaran dan kekal dekat dengan pelanggannya, kumpulan akan berusaha untuk melindungi nilainya sambil bersedia untuk pertumbuhan masa depan," katanya.- DagangNews.com