Untung bersih FY26 Hartalega diramal lebih rendah disebabkan margin lebih rendah – Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih FY26 Hartalega diramal lebih rendah disebabkan margin lebih rendah – Kenanga

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai – Hartalega Holdings Bhd dijangka merekodkan keuntungan bersih yang lebih rendah bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026), menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu juga mengurangkan unjurannya sebanyak 25 peratus didorong oleh semakan semula margin keuntungan dan ketidaktentuan kadar tukaran asing.

 

Kenanga berkata, margin keuntungan syarikat pengeluar sarung tangan itu diramal menyusut daripada 14 peratus kepada 12 peratus dengan andaian ia tidak akan memindahkan kesan tukaran mata wang asing kepada pelanggan dalam masa terdekat.

 

“Sehubungan itu, kami menyemak semula harga sasaran saham Hartalega daripada RM4.00 kepada RM3.20, berdasarkan 2.5 kali nilai buku sesaham FY2026, berbanding 2.9 kali sebelum ini,” kata Kenanga dalam nota kajiannya.

 

Kenanga turut mengingatkan potensi Hartalega untuk mengukuhkan kedudukan pasaran di Amerika Syarikat mungkin terjejas sekiranya kerajaan negara itu mengurangkan kadar tarif yang tinggi terhadap pengeluar sarung tangan dari China.

 

Hartalega ketika ini bergantung kepada pasaran AS bagi 50 hingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan jualannya, menjadikan dasar perdagangan di negara itu sebagai faktor utama kepada prestasi kumpulan.

 

Bagaimanapun, Kenanga percaya penilaian harga terhadap nilai buku (PBV) Hartalega kekal pada paras setara dengan tempoh sebelum tarif dikenakan, iaitu antara 1.8 hingga 2 kali.

 

Berdasarkan andaian 2 kali nilai buku FY2026, saham Hartalega sepatutnya diniagakan pada RM2.50 sesaham, berbanding RM1.55 pada harga semasa.

 

Mengulas prestasi semasa, Kenanga menyatakan keuntungan bersih Hartalega untuk tahun kewangan 2025 melonjak lima kali ganda kepada RM74.5 juta, selari dengan jangkaan mereka, namun masih 12 peratus lebih rendah daripada anggaran konsensus pasaran.

 

Antara intipati taklimat syarikat baru-baru ini termasuk jangkaan pertumbuhan sederhana bagi jualan suku pertama FY2026 (1Q26), dengan unjuran kenaikan antara 1 hingga 8 peratus berbanding suku sebelumnya, bersamaan 6 hingga 6.6 bilion keping sarung tangan.

 

Firma itu berkata, pelanggan dijangka terus mengutamakan penggunaan inventori sedia ada dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam suasana pasaran yang tidak menentu berikutan isu tarif.

 

Sebagai perbandingan, penghantaran pada Mei meningkat kepada 2.3 bilion keping, namun menyusut kepada dua bilion pada bulan berikutnya.

 

Hartalega menjangka permintaan akan kembali pulih pada separuh kedua FY2026, dengan petunjuk tempahan baharu mula kelihatan sejak Jun. - DagangNews.com