KUALA LUMPUR 10 Dis – Eco World Development Group Bhd mencatat prestasi kewangan paling kukuh setakat ini apabila menutup tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2025 dengan peningkatan besar dalam pendapatan, keuntungan dan kedudukan tunai.
Bagi FY2025, pendapatan dan keuntungan kasar masing-masing meningkat 30% dan 52%, dengan margin keuntungan kasar bertambah kepada 31.6% berbanding 27.0% pada FY2024.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pemaju hartanah itu berkata, keuntungan selepas cukai melonjak 47% kepada RM445.3 juta, iaitu paras tertinggi pernah direkodkan syarikat.
“Aliran tunai daripada aktiviti operasi turut meningkat 15% kepada RM1.29 bilion berbanding RM1.12 bilion sebelum ini.
“Tunai bersih daripada operasi selepas faedah dan cukai dibayar naik kepada RM907.1 juta, mengatasi RM890 juta yang dicatatkan pada FY2024.
“Setakat 31 Oktober 2025, pendapatan masa depan kekal kukuh pada RM4.89 bilion, menyediakan prospek aliran tunai dan pendapatan yang jelas untuk tempoh mendatang,” katanya dalam makluman tersebut.
Kedudukan kewangan syarikat juga bertambah kukuh dengan nisbah leverage kasar dan bersih masing-masing pada 0.65 kali dan 0.28 kali, disokong oleh baki tunai, deposit dan dana jangka pendek berjumlah RM2.28 bilion – paras tertinggi dalam sejarah kumpulan.
Bagi suku keempat FY2025, EcoWorld mencatatkan hasil RM750.8 juta dan keuntungan sebelum cukai RM173.16 juta, masing-masing lebih tinggi berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Syarikat itu berkata, keuntungan bersih suku tersebut meningkat kepada RM126.7 juta berbanding RM83.4 juta pada 4Q2024.
“Pendapatan asas sesaham turut naik kepada 4.15 sen.
“Selaras prestasi kukuh ini, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen akhir 2 sen sesaham bagi 4Q 2025, menjadikan jumlah dividen FY2025 sebanyak 7 sen sesaham berbanding 6 sen pada FY2024,” katanya.
Eco World berkata, projek di Iskandar Malaysia menyumbang RM2.27 bilion atau 50% daripada jumlah jualan Kumpulan, diikuti oleh Lembah Klang (39%) dan Pulau Pinang (11%).
“Pecahan jualan mengikut segmen menunjukkan Eco Townships mencatatkan RM1.89 bilion, Eco Rise (RM771 juta), Eco Hubs (RM664 juta), Eco Business Parks (RM263 juta) dan Quantum (RM960 juta).
“Bagi FY2026, EcoWorld mensasarkan jualan tahunan RM4 bilion yang disokong oleh pelancaran projek baharu termasuk Eco Business Park VII di Negeri Sembilan, Eco Business Park 8 di Kulai, Johor dan perbandaran baharu Eco Radiance di Semenyih, Lembah Klang,” katanya.
Projek ini dijangka menambah lebih 2,000 ekar tanah perindustrian dan memperkukuh kedudukan Kumpulan di Iskandar Malaysia dan Malaysian Vision Valley. - DagangNews.com








