KUALA LUMPUR 28 Mei - Eastern & Oriental Bhd (E&O) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih hampir dua kali ganda kepada RM69.85 juta bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2025 (4QFY25), berbanding RM36.48 juta pada tahun sebelumnya.
E&O berkata, peningkatan itu dicapai walaupun keuntungan operasi menurun 11.7% kepada RM72.73 juta.
"Prestasi kukuh ini disokong oleh keuntungan RM4.17 juta daripada usaha sama berbanding kerugian RM24.3 juta tahun lalu, keuntungan tertunda cukai RM1.89 juta, serta pengurangan kos kewangan kepada RM4.8 juta.
"Hasil suku tahunan juga melonjak hampir dua kali ganda kepada RM236.65 juta, didorong oleh pelupusan hartanah di United Kingdom (UK)," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Menurut E&O, untuk tahun kewangan FY25, syarikat mencatatkan keuntungan bersih RM168.65 juta atau kenaikan 26% dan hasil RM741.08 juta bersamaan kenaikan 75%, terutama daripada projek-projek semasa dan jualan hartanah UK.
Tambahnya, bahagian hartanah menyumbang RM1.06 bilion hasil, manakala bahagian hospitaliti merosot 12.8% kepada RM25.8 juta.
"E&O turut merancang untuk melancarkan empat projek kediaman dan runcit baharu di Pulau Pinang dan Lembah Klang menjelang suku kedua atau ketiga FY26," ujarnya.
Bagi segmen hospitaliti, kumpulan menjangka pertumbuhan hasil dipacu oleh peningkatan pelancong, tambahan penerbangan antarabangsa dan dasar visa percuma Malaysia dengan China.
Dividen untuk tahun kewangan 2025 dinaikkan kepada satu sen sesaham berbanding tiada dividen tahun lalu. - DagangNews.com








