KUALA LUMPUR 26 Ogos – Pemaju hartanah gaya hidup terkemuka, Eastern & Oriental Berhad (E&O) memulakan tahun kewangan 2026 (FY26) dengan prestasi kukuh, mencatatkan pertumbuhan 22% kepada RM50.1 juta bagi keuntungan selepas cukai pada suku pertama yang berakhir 30 Jun 2025 (Q1FY26).
Menurut laporan kewangan syarikat, E&O mencatatkan pendapatan RM183.5 juta, meningkat 11% berbanding RM165.7 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula meningkat 21% kepada RM63.4 juta.
Segmen hartanah terus menjadi pemacu utama pertumbuhan Kumpulan dengan pendapatan sebanyak RM157.1 juta, meningkat 12% tahun ke tahun dan menyumbang 86% daripada jumlah pendapatan.
Keuntungan operasi segmen hartanah meningkat 9% kepada RM57.4 juta. Sementara itu, segmen hospitaliti mencatatkan peningkatan pendapatan dan keuntungan operasi masing-masing sebanyak 6% dan 10%, didorong oleh kadar bilik purata dan kadar penginapan yang lebih tinggi di E&O Hotel, Pulau Pinang.
Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, Kumpulan berbesar hati dapat memulakan FY26 dengan prestasi yang memberangsangkan.
“Minat positif daripada pembeli tempatan dan asing, khususnya bagi pembangunan kami di Lembah Klang serta Pulau Andaman, Pulau Pinang, terus menyokong pertumbuhan kami.
“Kami menyasarkan pelancaran projek bernilai lebih RM2.0 bilion, termasuk Elmina Retail Shops, Elmina Landed Homes, Senna, Fera dan Andaman Island Plot 16E.
“Penjualan tanah di London juga selaras dengan strategi kami untuk mengekalkan nilai modal dan memperkukuh penyata kewangan, meningkatkan fleksibiliti dan peluang pertumbuhan masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejak penubuhannya, E&O telah membina reputasi sebagai pemaju hartanah gaya hidup terkemuka, dengan projek-projek ikonik di Kuala Lumpur seperti The Mews, St Mary Residences, Dua Residency, Idamansara dan Seventy Damansara. Di Pulau Pinang, projek Seri Tanjung Pinang (STP) dan Andaman terus mendapat sambutan pasaran, termasuk pelancaran rumah bertanah Fera dan Senna serta pembangunan bertingkat mewah The Lume dan Maris.
Projek penambakan berterusan di Andaman bakal merangkumi 307.6 hektar manakala pembangunan township Avira seluas 13.8 hektar di Bandar Medini, Iskandar Malaysia, menawarkan akses mudah ke Laluan Kedua ke Singapura.
Di peringkat antarabangsa, E&O turut melabur dalam hartanah premium di London termasuk Princes House di Kingsway dan hartanah komersial di Hammersmith.
E&O turut mengekalkan kedudukan dalam segmen hospitaliti mewah melalui Eastern & Oriental Hotel, mercu tanda warisan di George Town yang diasaskan pada 1885. - DagangNews.com








