Untung bersih Bumi Armada diunjur cecah RM250 juta pada 1QFY25 dipacu kestabilan operasi aset - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Bumi Armada diunjur cecah RM250 juta pada 1QFY25 dipacu kestabilan operasi aset - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan syarikat perkhidmatan medan minyak, Bumi Armada Bhd akan mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM200 juta hingga RM250 juta bagi suku pertama tahun ini (1QFY25) didorong kestabilan operasi asetnya.

 

Keputusan 1QFY25 syarikat itu dijangka diumumkan pada bulan Mei ini.

 

“Kami menjangkakan suku yang berjalan seperti biasa bagi kumpulan ini dengan keuntungan bersih teras suku tahunan sebanyak RM200 juta hingga RM250 juta yang didorong oleh kestabilan operasi semua asetnya, kecuali berlaku perubahan kos yang tidak dijangka,” tambah firma penyelidikan itu.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu percaya, keuntungan tahun ini berkemungkinan lebih tinggi pada 1QFY25 memandangkan kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Armada Kraken yang beroperasi di Laut Utara sudah memasuki tempoh lanjutan.

 

Katanya, bermula 1 April 2025, kadar sewaan harian Armada Kraken akan menyusut sebanyak 70%.

 

Namun, pendapatan suku tahunan kumpulan dijangka kembali normal mulai 2QFY25, kata Maybank IB.

 

Pada akhir 4QFY24, kedudukan hutang bersih dan nisbah penggearan bersih Bumi Armada telah menurun selama 19 suku berturut-turut kepada RM2.3 bilion.

 

"Kami percaya kemenangan kontrak baharu bagai FPSO Bumi Armada akan berfungsi sebagai pemangkin penarafan baharu untuk menambah buku pesanan dan keterlihatan pendapatannya.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan risiko termasuk syarikat minyak global menahan perbelanjaan modal dalam jangka terdekat disebabkan ketidaktentuan harga minyak mentah dan gangguan yang tidak dijangka dalam mana-mana aset Bumi Armada, yang menjejaskan masa operasi dan pengiktirafan hasilnya," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan “beli” ke atas Bumi Armada dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 78 sen sesaham. - DagangNews.com