KUALA LUMPUR 21 Ogos - Bintulu Port Holdings Berhad mencatatkan penyusutan untung bersih sebanyak 13% kepada RM34.7 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) berbanding RM39.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan peningkatan kos operasi dan penurunan hasil.
Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan juga menurun kepada RM194.8 juta berbanding RM196.9 juta pada 2QFY24.
Katanya, penyusutan itu adalah disebabkan penurunan hasil daripada pengendalian kargo gas asli cecair (LNG) yang terjejas akibat penutupan pusat penyelenggaraan utama yang dirancang di MLNG.
Hasil daripada operasi di Pelabuhan Industri Samalaju sebanyak RM47.76 juta adalah lebih tinggi sebanyak RM6.95 juta berbanding RM40.81 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Hasil daripada kemudahan penyimpanan pukal meningkat sedikit kepada RM10.28 juta berbanding RM10.11 juta pada 2QFY24.
"Perbelanjaan bagi suku berkenaan berjumlah RM166.82 juta, meningkat sebanyak RM6.66 juta berbanding RM160.16 juta pada suku kedua 2024, terutamanya disebabkan oleh peningkatan kos tenaga kerja dan pentadbiran," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Untung bersih bagi separuh pertama 2025 (1HFY25) susut 25.4% kepada RM63.1 juta berbanding RM84.6 juta dengan hasil juga susut 2.2% kepada RM396.5 juta berbanding RM405.6 juta.
Kumpulan itu berkata, walaupun terdapat pengurangan hasil daripada pengendalian kargo LNG dan ketibaan kapal pada 1HFY25 disebabkan penutupan penyelenggaraan utama yang dirancang di MLNG, hasil daripada LNG masih akan kekal sebagai penyumbang utama kepada Kumpulan.
Kumpulan menjangkakan, ketibaan kapal dan jumlah kargo LNG akan meningkat pada separuh kedua tahun 2025.
Selain itu, terdapat juga pertumbuhan positif daripada ketibaan kapal yang membawa kargo Metanol dan kargo projek Samalaju.- DagangNews.com








