KUALA LUMPUR 30 Mei - Keuntungan bersih Bank Islam Malaysia Berhad pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) merosot 3.4% kepada RM126.27 juta berbanding RM130.73 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil kumpulan itu meningkat kepada RM1.23 bilion berbanding RM1.14 bilion pada 1QFY24.
Bank itu berkata, pendapatan bukan berasaskan dana melonjak 50.3% kepada RM133.6 juta, disokong peningkatan pendapatan yuran dan komisen, pendapatan transaksi pertukaran asing yang lebih tinggi serta keuntungan bersih daripada penjualan sekuriti pelaburan.
Katanya, pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 2.1% kepada RM539.8 juta, didorong pertumbuhan dalam pembiayaan dan sekuriti pelaburan.
Bagaimanapun, kumpulan melaporkan peruntukan bersih bagi kemerosotan nilai pembiayaan dan pendahuluan meningkat sebanyak RM37.5 juta kepada RM79.8 juta dalam suku tersebut, terutamanya disebabkan peningkatan pembiayaan baharu yang rosot nilai.
Kumpulan itu menyatakan, kualiti aset kekal kukuh, dengan nisbah pembiayaan rosot nilai kasar pada 1.08% setakat 31 Mac 2025, jauh di bawah purata industri iaitu 1.42%.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, kumpulan itu menunjukkan prestasi 1QFY25 yang sederhana, dipacu pertumbuhan strategik dan komitmen terhadap kelestarian.
“Sebagai institusi kewangan patuh syariah, kami akan terus berkembang seiring dengan jangkaan pelanggan sambil memanfaatkan kemajuan teknologi dalam kewangan Islam.
“Fokus berterusan kami terhadap perbankan bertanggungjawab dan pertumbuhan mampan jangka panjang mengukuhkan kepimpinan Bank Islam dalam membentuk ekosistem kewangan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan," katanya.
Sepanjang suku tersebut, jumlah pembiayaan kasar meningkat 6% kepada RM71.8 bilion, didorong peningkatan 6.5% dalam pembiayaan pengguna dan kenaikan 10.4% dalam pembiayaan komersial.
Deposit pelanggan dan akaun pelaburan meningkat 5.5% kepada RM80.6 bilion.
Setakat Mac 2025, jumlah akaun semasa, simpanan dan akaun pelaburan transaksi (Casatia) berjumlah RM30 bilion, mewakili 37.2% daripada jumlah keseluruhan.- DagangNews.com








