KUALA LUMPUR 30 Mei – Untung bersih Avaland Berhad pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) turun 4.7% kepada RM20.2 juta berbanding RM21.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan pendapatan lebih rendah daripada projek siap Aetas Damansara dan Alira Subang.
Hasil kumpulan juga menyusut 16.3% kepada RM179.5 juta berbanding RM214.6 juta pada 1QFY24.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat menjelaskan suku pertama sebagai tempoh peralihan apabila projek lama yang hampir selesai dan projek baharu masih di peringkat awal.
Namun, kawalan kos yang berkesan berjaya mengurangkan impak kepada prestasi keseluruhan serta tiada dividen diisytihar bagi suku tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif, Apollo Bello Tanco berkata, syarikat mencatat permulaan stabil bagi FY25 dengan jualan baharu RM147.5 juta, disokong permintaan kukuh terhadap Fasa 2 Casa Embun, Alora Residences, dan Meria.
Setakat ini, Avaland telah melancarkan Meria (Fasa 1) pada Februari lalu, pusat komersial di Cybersouth dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM123 juta, dan Alora Residences (Menara B) pada April RM220 juta.
Syarikat merancang melancarkan projek tambahan bernilai RM934 juta tahun ini, menjadikan keseluruhan pelancaran tahun ini berjumlah RM1.3 bilion.
Setakat 31 Mac, jualan belum dibil RM944 juta berbanding RM900 juta pada akhir 2024, sekali gus memberikan jaminan pendapatan yang baik kepada syarikat bagi tempoh akan datang.
Apollo berkata, prospek pasaran hartanah kekal positif disokong permintaan stabil dan kadar faedah yang tidak berubah.
Permohonan pinjaman hartanah meningkat kepada RM106 bilion pada 1QFY25 berbanding RM104 bilion tahun lalu.
Insentif kerajaan seperti jaminan kredit perumahan lebih tinggi dan pelepasan cukai bagi rumah berharga di bawah RM750,000 dijangka menyokong permintaan golongan muda dan pembeli rumah pertama.
Pegangan tanah seluas 77.7 hektar di Lembah Klang dengan GDV dianggarkan RM11 bilion dijangka memacu pertumbuhan jangka panjang, selain perancangan untuk menambah simpanan tanah bagi pengembangan masa depan.
Avaland kekal berhati-hati namun yakin dengan prospek semasa, disokong permintaan kukuh bagi projek strategik.- DagangNews.com








