Untung bersih Astro susut 81% kepada RM9 juta pada 3QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Astro susut 81% kepada RM9 juta pada 3QFY26

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Dis – Astro Malaysia Holdings Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang lebih lemah bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26) berbanding suku yang sama tahun sebelumnya dengan keuntungan bersih menurun 81% kepada RM9 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Astro berkata, keuntungan sebelum cukai bagi suku ketiga berakhir 31 Oktober 2025 merosot 79% kepada RM14.1 juta daripada RM67 juta pada suku yang sama tahun lalu manakala pendapatan susut 7% kepada RM695.6 juta berbanding RM749.7 juta sebelumnya.

 

Astro mencatatkan penurunan pendapatan daripada langganan dan pengiklanan.

 

“Pendapatan langganan untuk suku berakhir Oktober 2025 ialah RM563 juta, turun 8% daripada RM611.1 juta pada suku sama tahun sebelumnya. 

 

“Pendapatan iklan juga menurun 17% kepada RM68.4 juta daripada RM79.6 juta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pendapatan segmen televisyen, yang merangkumi perkhidmatan TV dan jalur lebar, mencatatkan pendapatan RM658 juta, merosot 7% daripada RM707.2 juta pada suku ketiga FY25. 

 

EBITDA segmen televisyen sedikit menurun kepada RM142.7 juta, dengan margin EBITDA meningkat kepada 21.7%.

 

Segmen radio turut mencatat prestasi lemah dengan pendapatan RM37.5 juta, turun 12% daripada RM42.4 juta. 

 

Keuntungan sebelum cukai segmen radio susut 50% kepada RM7.3 juta, manakala margin EBITDA jatuh kepada 20.5%.

 

Astro merekodkan keuntungan komprehensif sebanyak RM19.2 juta bagi suku berakhir 31 Oktober 2025, termasuk pendapatan lain seperti perubahan nilai derivatif dan pertukaran asing.

 

Dari segi aset, jumlah aset terkini Astro ialah RM5.16 bilion berbanding RM5.48 bilion pada 31 Januari 2025. 

 

Liabiliti juga menurun kepada RM3.84 bilion daripada RM4.21 bilion.

 

Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM1.28 bilion berbanding RM1.23 bilion, disokong oleh keuntungan suku semasa dan penyesuaian dalam rizab pertukaran asing.

 

Astro mengekalkan struktur kewangan stabil dengan baki tunai dan setara tunai sebanyak RM168 juta pada akhir suku, meningkat berbanding RM94.6 juta pada Januari 2025. 

 

Aliran tunai operasi kekal kukuh walaupun perbelanjaan pelaburan dan pembayaran faedah berterusan.

 

Bagi komitmen modal, Astro melabur RM738.8 juta dalam peralatan, perisian serta hak program dan perpustakaan filem, meningkat ketara berbanding RM292.8 juta pada Januari 2025.

 

Tiada dividen dibayar bagi suku ketiga FY26. 

 

Dalam konteks prestasi, Astro mengekalkan fokus pada pengurangan kos operasi, penambahbaikan kandungan dan peningkatan pengalaman pelanggan, sambil mengekalkan kedudukan kukuh dalam pasaran televisyen berbayar dan radio di Malaysia. - DagangNews.com