Untung bersih Astro pada 2QFY26 susut 70% kepada RM16.39 juta disebabkan hasil lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Astro pada 2QFY26 susut 70% kepada RM16.39 juta disebabkan hasil lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept - Untung bersih Astro Malaysia Holdings Berhad bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2025 (2QFY26) merosot 70% kepada RM16.39 juta berbanding RM53.2 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, disebabkan hasil yang lebih lemah, kos pembiayaan yang lebih tinggi serta peningkatan susut nilai.

 

Pendapatan turut menyusut 13.23% tahun ke tahun kepada RM683.21 juta daripada RM787.30 juta, terjejas akibat pendapatan langganan yang lebih rendah, perbelanjaan pengiklanan yang berkurangan serta penurunan jualan hak penyiaran program.

 

Bagi suku berkenaan, tiada dividen interim diisytiharkan.

 

 

 

 

 

 

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, jumlah pelanggan meningkat 5% suku ke suku, didorong sambutan isi rumah terhadap nilai dan kemudahan yang ditawarkan pakej Astro One dalam pilihan hiburan mereka.

 

Katanya, peningkatan itu turut didorong tahap kesetiaan pelanggan yang lebih baik, apabila kadar pergerakan berkurangan sebanyak 25% berbanding suku sebelumnya, termasuk kembalinya pelanggan lama. 

 

"Secara keseluruhan, pencapaian ini membantu mengurangkan kehilangan pelanggan kira-kira 60% secara sukuan dan tahunan," katanya.

 

Dari segi perbelanjaan pengiklanan (adex) prestasi pada suku kedua FY26 agak menyederhana dengan kutipan sebanyak RM61 juta, susut 12% dari suku tahun ke suku tahun merentasi TV, pengiklanan bersasar, radio dan digital. 

 

Keadaan ini itu katanya, mencerminkan sentimen makro yanglemah, khususnya apabila syarikat multinasional memilih untuk menangguh atau mengubah hala bajet pemasaran mereka.

 

"Meskipun begitu, Astro terus memperkukuh kedudukannya sebagai ‘Attention Company’ dengan membangunkan keupayaan yang mampu menawarkan tumpuan bernilai yang merupakan sesuatu yang sentiasa dicari oleh jenama.

 

"Antara langkah penting pada suku ini ialah pelancaran KULT, usaha pemasaran digital berteraskan budaya. KULT memanfaatkan ekosistem kandungan premium Astro, data pihak pertama serta rangkaian pencipta untuk membantu jenama bergerak seiring arus budaya semasa," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Euan Smith berkata, pelanggan semakin menyambut baik kemudahan dan nilai yang ditawarkan oleh pakej Astro One, manakala penggunaan Ultra dan Ulti Box terus mendorong kepuasan pelanggan. 

 

 

 

 

 

"Pada bulan Ogos, kami turut mencatatkan pertambahan pelanggan buat kali pertama sejak 2018, ia satu pencapaian bermakna yang menandakan usaha kami mula membuahkan hasil.

 

"Momentum baik turut dilihat pada Astro Fibre, yang telah mengatasi peneraju pasaran jalur lebar dalam pertambahan bersih pelanggan pada suku ini. Pencapaian ini mencerminkan daya tarikan pakej gabungan jalur lebar dan hiburan kami dalam kalangan isi rumah," katanya. - DagangNews.com