Untung bersih Astino melonjak 26.1% kepada RM8.44 juta pada Q1 FYE2026 walaupun hasil menyusut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Astino melonjak 26.1% kepada RM8.44 juta pada Q1 FYE2026 walaupun hasil menyusut

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 19 Dis – Astino Berhad mencatat keuntungan bersih sebanyak RM8.44 juta bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2025 (Q1 FYE2026), meningkat 26.1% berbanding RM6.70 juta bagi tempoh sama tahun lalu meskipun berdepan penurunan hasil.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM11.40 juta berbanding RM9.08 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

 

Bagi tempoh dalam kajian, hasil kumpulan berkurang kepada RM159.10 juta daripada RM168.21 juta, namun kecekapan operasi dan pengurusan kos menyokong prestasi keuntungan yang lebih kukuh.

 

Keuntungan bersih tersebut adalah sepenuhnya boleh diagihkan kepada pemegang saham biasa syarikat, dengan pendapatan sesaham asas meningkat kepada 1.79 sen berbanding 1.40 sen sebelumnya.

 

Astino turut memaklumkan tiada dividen dicadangkan atau diisytiharkan bagi suku berkenaan.

 

Syarikat pembuatan produk berkaitan bahan binaan besi itu berkata, prestasi itu mencerminkan keupayaan kumpulan mengekalkan margin keuntungan dalam persekitaran pasaran yang mencabar, disokong oleh permintaan berterusan terhadap produk bahan binaan berasaskan besi serta pengurusan kos yang berdisiplin. - DagangNews.com