Untung bersih Apollo Food susut 34.3% kepada RM6.4 juta pada 1QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Apollo Food susut 34.3% kepada RM6.4 juta pada 1QFY26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Sept - Untung bersih Apollo Food Holdings Berhad menyusut 34.3% kepada RM6.4 juta pada suku pertama berakhir 31 Julai 2025 (1QFY26) berbanding RM9.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan hasil lebih rendah dan kos operasi yang lebih tinggi.

 

Hasil kumpulan bagi suku berkenaan juga susut kepada RM65.1 juta berbanding RM72 juta pada 1QFY25.

 

Pengarah Urusan Apollo Food, Cheah Jia Ming berkata, walaupun permintaan pada suku pertama adalah lebih perlahan, perniagaan kumpulan kini sedang melalui fasa peralihan di peringkat domestik apabila pihaknya terus memperkukuh model pengedaran dengan menyusun semula rangkaian pengedaran melalui kerjasama dengan pengedar, sejajar strategi pertumbuhan jangka panjang.

 

Beliau berkata, peralihan itu menimbulkan cabaran kepada jualan domestik pada suku ini, pihaknya yakin ia akan memberikan kelebihan pada masa hadapan, dengan petunjuk awal menunjukkan momentum memberangsangkan. 

 

"Penyelarasan semula strategi pengedaran ini adalah penting untuk memacu pertumbuhan jangka panjang serta membolehkan penembusan pasaran yang lebih meluas.

 

"Jualan eksport pada suku ini turut terjejas akibat permintaan yang lebih rendah, khususnya daripada pengedar utama kami di Indonesia, berikutan kelemahan persekitaran makroekonomi dan nilai rupiah

 

"Bagaimanapun, kami terus melihat Indonesia sebagai pasaran eksport utama dan kami tetap berhati-hati dan optimis ia akan terus menyumbang secara positif kepada perniagaan kami pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jia Ming berkata, pihaknya juga sedang sedang meningkatkan keterlihatan jenama melalui kempen pemasaran yang diperbaharui, penglibatan yang lebih mendalam dengan generasi pengguna baharu, serta pelancaran rangkaian produk Apollo 2.0. 

 

Katanya, dengan kapasiti baharu yang akan beroperasi pada tahun kewangan hadapan, inisiatif itu akan membolehkan pihaknya memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan merebut peluang baharu.- DagangNews.com