KUALA LUMPUR 7 Ogos - Untung bersih Sentral Real Estate Investment Trust (Sentral REIT) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) susut kepada RM20.14 juta berbanding RM20.53 juta pada suku tahun sebelumnya disebabkan penurunan hasil yang direalisasikan daripada Menara Shell.
Kumpulan itu berkata, bagaimanapun sebahagiannya diimbangi peningkatan pendapatan sewa daripada Bangunan Sentral 3 dan 4 pengurangan perbelanjaan hartanah dan kos pembiayaan yang lebih rendah.
Katanya, hasil bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) merosot kepada RM47.7 juta berbanding RM49.03 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Bagi separuh pertama FY25 (1HFY25), untung bersih REIT adalah sedikit lebih rendah pada RM39.74 juta berbanding RM40.42 juta dalam 1HFY24, manakala pendapatan susut kepada RM95.15 juta daripada RM98.72 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.
REIT tersebut mengisytiharkan agihan interim sebanyak 3.16 sen seunit dan bayaran dijadualkan pada 18 September 2025.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Derek Teh Wan Wei berkata, Sentral REIT mempunyai kira-kira 460,000 kaki persegi atau 21% daripada jumlah ruang boleh disewa yang komited yang akan tamat tempoh pada tahun 2025, dengan 62,000 kaki persegi tamat pada suku kedua 2025
Beliau berkata, selaras dengan strategi pengekalan penyewa yang sedang dijalankan, pihaknya berjaya memperbaharui 99% daripada pajakan yang tamat tempoh dalam 2Q 2025.
"Kadar purata penghunian kekal sihat pada 85%, dengan tempoh purata sewaan berbaki wajaran (WALE) selama 4.54 tahun. Rundingan awal terbukti berkesan, apabila 95% daripada pajakan yang bakal tamat pada suku ketiga 2025 telah berjaya diperbaharui lebih awal," katanya dala satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Derek berkata, Sentral terus mengamalkan disiplin kewangan dalam mengoptimumkan struktur modalnya dan sehingga 30 Jun 2025, komposisi hutang Sentral REIT antara kadar faedah tetap dan terapung masing-masing adalah 62% dan 38%.
Katanya, struktur hutang itu membantu mengurangkan pendedahannya terhadap turun naik kadar faedah dalam persekitaran pasaran yang berubah. - DagangNews.com








