Untung bersih 1QFY25 Bursa Malaysia diramal susut sehingga 27% akibat sentimen lemah pasaran - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih 1QFY25 Bursa Malaysia diramal susut sehingga 27% akibat sentimen lemah pasaran - CIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 April - Untung bersih Bursa Malaysia Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) diramal menyusut antara 17.9% hingga 26.9% akibat sentimen pasaran yang lebih lemah, kata CIMB Securities.

 

Katanya, purata dagangan harian (ADV) sekuriti Bursa Malaysia merosot sebanyak 15.6% kepada RM2.7 bilion pada suku ini berbanding RM3.2 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia disebabkan ketidakpastian dasar kerajaan yang timbul susulan pengumuman tarif timbal balas oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang telah mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakukanya kemelesetan ekonomi.

 

"Pelabur dijangka kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat akibat ketidakpastian perdagangan global serta potensi kesan daripada perubahan pendirian dasar perdagangan dan tarif Presiden AS, Donald Trump, yang boleh menjejaskan pertumbuhan global dan meningkatkan ketidaktentuan pasaran,” katanya dalam satu nota kajian.

 

CIMB Securities berkata, pendapatan Bursa Malaysia juga dijangka menurun antara 6.3% hingga 11.5% secara tahunan, kepada julat antara RM166 juta hingga RM175 juta.

 

Katanya, nisbah kos kepada pendapatan pengawal selia pasaran saham tersebut dijangka meningkat kepada antara 53% hingga 56% dalam 1QFY25, berbanding 46.5% setahun lalu.

 

Bursa dijangka tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku ini, kerana ia lazimnya mengumumkan pembayaran dividen dua kali setahun, iaitu pada suku kedua dan keempat. 

 

Bursa Malaysia dijadualkan mengumumkan keputusan kewangan 1QFY25 pada hari Isnin, 28 April ini.

 

CIMB Securities turut memberi amaran, unjuran keuntungannya berisiko untuk diturunkan lagi.

 

Sekiranya paras ADV semasa sebanyak RM2.7 bilion berterusan sepanjang FY25, firma penyelidikan itu menjangka unjuran keuntungannya akan disemak turun sebanyak 5.5% kepada RM275.1 juta bagi FY2025, turun 5.6% kepada RM276.6 juta bagi FY26, dan turun 5.7% kepada RM278.9 juta bagi FY27.

 

Sehubungan itu, harga sasaran bagi saham Bursa dijangka dikurangkan sebanyak 5.8%, daripada RM8.15 kepada RM7.68, menurut CIMB Securities.

 

Menurut Bloomberg, tujuh penganalisis memberi saranan "beli" terhadap saham Bursa Malaysia, manakala sembilan menilainya sebagai "pegang" dan satu "jual". 

 

Harga sasaran 12 bulan bagi saham itu kini pada RM8.91, yang menunjukkan potensi kenaikan sebanyak 15.4% daripada harga semasa iaitu RM7.72. - DagangNews.com