Unjuran KDNK 2025 dikurangkan kepada 4.5% berbanding 5% kesan tekanan tarif Trump - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran KDNK 2025 dikurangkan kepada 4.5% berbanding 5% kesan tekanan tarif Trump - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - RHB Research mengurangkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 kepada 4.5% berbanding unjuran awal 5% berikutan ketegangan perdagangan serta kenaikan tarif baru-baru ini yang menimbulkan keada ekonomi dipacu eksport negara. 

 

Katanya, unjuran semula itu dibuat sebagai tindak balas kepada langkah tarif menyeluruh dari Amerika Syarikat (AS) termasuk tarif 24% ke atas barangan Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berkata perkembangan itu yang sebelum ini dianggap tidak mungkin disebabkan oleh defisit perdagangan AS yang agak kecil dengan Malaysia, kini telah meningkatkan risiko penurunan ketara.

 

Ia berkata imbangan risiko itu cenderung ke arah pertumbuhan 4% sekiranya tarif dan ketegangan perdagangan terus meningkat.

 

"Semakan kami mengambil kira kesan tarif timbal balik baru-baru ini ke atas Malaysia, yang mengakibatkan penurunan kepada KDNK sebanyak 0.4%, ditambah dengan tarif AS yang lebih tinggi ke atas China, yang mengakibatkan penurunan 0.7% lagi kepada KDNK Malaysia (dengan mengandaikan tiada dasar pelonggaran dari China).

 

"Kami menjangkakan tekanan yang lebih tinggi untuk ekonomi, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pembuatan, bermula pada suku kedua 2025, apabila kesan negatif daripada ketegangan ini menjadi lebih ketara," katanya dalam satu nota kajian.

 

Mengenai prestasi KDNK pada suku pertama 2025 yang akan datang, firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berkisar antara 4.8 peratus dan 5.0 peratus, disokong momentum ekonomi berdaya tahan.

 

RHB Research berkata, walaupun perdagangan langsung Malaysia dengan AS hanya merangkumi kira-kira 10% daripada jumlah dagangan dan 11.6% daripada jumlah eksport, kesannya ditambah lagi dengan tekanan tidak langsung melalui rantaian bekalan global dan kelembapan permintaan dalam ekonomi utama seperti China dan AS.

 

"Pada 2024, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan dengan AS berjumlah RM72.38 bilion. Berdasarkan harga konservatif dan tarif baharu AS boleh mengurangkan eksport Malaysia ke AS sebanyak kira-kira 12%, diterjemahkan kepada kekurangan RM8.7 bilion," katanya.

 

Bagi mengurangkan kesan itu, RHB Research menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mempertimbangkan pemotongan 25 mata asas dalam kadar dasar semalaman (OPR) pada separuh kedua 2025, terutamanya jika pertumbuhan menurun di bawah julat sasaran rasmi 4.5% hingga 5.5%.

 

"Pendirian dasar monetari bank pusat akan bergantung kepada tiga faktor: kekuatan momentum ekonomi, trajektori inflasi, dan, sedikit sebanyak, aliran kadar faedah global," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi mengurangkan kesan tarif ini, Malaysia akan mempertimbangkan untuk mempelbagaikan pasaran eksportnya dengan mengutamakan wilayah pertumbuhan tinggi dan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada, termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

 

"Selain itu, Malaysia juga akan memupuk perkongsian baharu dalam ASEAN dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan Malaysia dengan mempercepatkan pelaksanaan dasar perindustrian utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR)," katanya.- DagangNews.com