KUALA LUMPUR 1 Ogos – Heriot-Watt University Malaysia memperkenalkan program baharu Ijazah Sarjana Kejuruteraan dalam Kejuruteraan Robotik dan Mekatronik, serentak dengan pelancaran inisiatif WattTech: Engineer in You dan Persidangan Guru ke-4 Tahun 2025 di kampus Putrajaya hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Heriot-Watt University Malaysia, Profesor Mushtak Al-Atabi berkata, kesemua inisiatif itu digerakkan bagi melahirkan generasi pemimpin masa depan yang berasaskan nilai, kompeten secara teknikal dan bersedia bersaing di peringkat global.
“Program baharu tersebut direka bentuk bersama pihak industri serta disokong penyelidikan bertaraf dunia, selaras dengan misi universiti untuk menyumbang kepada kemajuan masyarakat.
“Robotik dan mekatronik merupakan bidang penting dalam pengaplikasian kecerdasan buatan (AI) bagi kesejahteraan manusia termasuk dalam sektor penjagaan kesihatan, perdagangan, pertanian dan industri.
“Graduan akan dilengkapkan dengan latihan lanjutan dalam automasi dan AI, sekali gus menyokong agenda ekonomi digital dan hijau negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memperkenalkan robot dinamakan ‘Iki’ yang diinspirasikan daripada konsep Jepun, Ikigai, yang bermaksud ‘sebab untuk hidup’, mencerminkan komitmen universiti terhadap pembentukan pemimpin berwawasan dan beretika.
Dalam perbualan simbolik antara beliau dan Iki, Mushtak menekankan kepentingan nilai-nilai seperti kebaikan, empati dan kerjasama dalam memastikan AI berkembang selari dengan kepentingan manusia.
Pelancaran program ini turut menyokong agenda nasional seperti Dasar Revolusi Industri Keempat (4IR), Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan inisiatif Putrajaya Green City 2025.
Program tersebut dibangunkan bersama National Robotarium, sebuah pusat kecemerlangan robotik dan AI di kampus Heriot-Watt di Edinburgh, United Kingdom, yang disokong pelaburan £1.5 bilion di bawah Edinburgh and South-East Scotland City Region Deal.
Beliau berkata, sempena pengambilan September 2025, Heriot-Watt Malaysia juga menawarkan Biasiswa Inaugural sebanyak 20%, selain peluang mengikuti Winter School AI & Robotik 2027 di Edinburgh.
“Pelajar juga bakal menjalani latihan industri bersama pemain utama termasuk Aerodyne Geospatial, Advance Retro Solution, KUKA Robot Automation dan Robopreneur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau bekata, Persidangan Guru 2025 yang berlangsung hari ini memberi tumpuan kepada pendekatan bimbingan bersepadu teknologi serta peranan pendidik dalam menyesuaikan pedagogi dengan keperluan semasa industri.
"Inisiatif WattTech: Engineer in You pula memperkenalkan pelajar lepasan sekolah kepada cabaran kejuruteraan dunia sebenar, dengan matlamat memupuk kemahiran menyelesaikan masalah dan minat terhadap sains serta teknologi sejak awal usia.
“Kami bukan sekadar mendidik, malah kami juga membentuk pencetus perubahan yang akan membantu menyelesaikan cabaran global, daripada perubahan iklim dan mobiliti bandar kepada etika AI dan keseimbangan digital,” tambah Mushtak.- DagangNews.com








