United Malacca kuasai sepenuhnya anak syarikat di Indonesia menerusi urus niaga bernilai RM42 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

United Malacca kuasai sepenuhnya anak syarikat di Indonesia menerusi urus niaga bernilai RM42 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - United Malacca Bhd bakal mengambil alih keseluruhan kawalan ke atas anak syarikat perladangannya di Indonesia, PT Lifere Agro Kapuas menerusi urus niaga bernilai AS$10 juta (RM42.25 juta) bagi menyusun semula operasi serantaunya.

 

Kumpulan itu ketika ini mempunyai kepentingan efektif sekitar 83% dalam Lifere Agro, yang dipegang melalui anak syarikatnya International Natural Resources Pte Ltd. 

 

United Malacca memiliki 88.2% pegangan dalam International Natural, manakala International Natural pula memiliki 94.1% pegangan dalam Lifere Agro.

 

Pengambilalihan itu melibatkan pembelian baki 17% kepentingan efektif dalam Lifere Agro daripada PT Bank OCBC NISP Tbk, anak syarikat tersenarai di Indonesia milik Oversea-Chinese Banking Corporation (OCBC Singapore) dari Singapura.

 

Ini juga menjadikan ia sebagai urus niaga pihak berkaitan, memandangkan OCBC Singapore merupakan pemegang saham utama dalam United Malacca.

 

Pegangan 17% yang akan dibeli itu terdiri daripada 11.8% kepentingan dalam International Natural dan 5.9% kepentingan langsung dalam Lifere Agro.

 

Lifere Agro yang diperbadankan pada 2005, terlibat dalam aktiviti penanaman dan pemprosesan kelapa sawit di Kalimantan Tengah, Indonesia. Ladang itu menjadi penyumbang utama kepada jejak serantau United Malacca.

 

United Malacca, bersama anak syarikat milik penuhnya Vintage Plantations Sdn Bhd, menandatangani perjanjian pembelian saham dengan PT Bank OCBC untuk pembelian pegangan tersebut, menurut satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Pada masa yang sama, memandangkan Lifere Agro mungkin mempunyai liabiliti cukai lama yang masih belum diselesaikan, pihak OCBC bersetuju untuk memperuntukkan AS$1.1 juta ke dalam akaun pegangan khas. 

 

Dana itu akan kekal di situ sehingga mahkamah cukai Indonesia menentukan jumlah sebenar cukai tertunggak Lifere Agro. Setelah diputuskan, dana tersebut akan digunakan untuk melangsaikan cukai tersebut.

 

United Malacca berkata, pengambilalihan itu akan dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman. Sehingga akhir April 2025, rizab tunai syarikat berjumlah RM99.73 juta, manakala pinjaman jangka pendek adalah sebanyak RM60.44 juta.

 

"Urus niaga yang dicadangkan ini selaras dengan strategi jangka panjang United Malacca untuk menumpukan sumber kewangan bagi mengembangkan lagi operasi perladangannya, baik di dalam negara mahupun serantau," kata syarikat itu. 

 

Katanya, kawalan 100% ke atas anak syarikat berpotensi menghasilkan penjimatan kos melalui penyusunan semula operasi, proses membuat keputusan yang lebih pantas, peruntukan sumber yang lebih baik dan peningkatan keuntungan.

 

Jawatankuasa audit kumpulan berpendapat, urus niaga ini adalah “adil, munasabah dan demi kepentingan terbaik kumpulan”, dijalankan secara bebas dan tidak merugikan pemegang saham minoriti. - DagangNews.com