MHB berdepan tuntutan timbang tara RM57.3 juta daripada subkontraktor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MHB berdepan tuntutan timbang tara RM57.3 juta daripada subkontraktor

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 April — Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) menerusi anak syarikatnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), berdepan tuntutan timbang tara melibatkan RM57.3 juta daripada subkontraktor.


Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia telah menerima notis bertarikh 11 April 2025 yang berpunca daripada isu pertikaian mengenai subkontrak bagi projek pembangunan semula Bokor Fasa 3 dan dilabelkan sebagai Pakej A.


Di bawah subkontrak itu, Haumea Offshore, yang dahulunya dikenali sebagai Trans Fame Offshore Sdn Bhd, dilantik untuk menjalankan kerja-kerja penyambungan dan pentauliahan, termasuk penyediaan kapal marin untuk projek berkenaan.

 

 


Timbang tara tersebut, yang difailkan di bawah peraturan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, membabitkan kes perselisihan pendapat mengenai prestasi kerja.


Tuntutan berkenaan termasuk dakwaan berlaku kerugian, faedah, kos dan sebarang pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh pihak tribunal timbang tara.


MHB berkata bahawa impak kewangan kepada kumpulan itu akan bergantung kepada hasil prosiding tersebut, tetapi tiada gangguan operasi yang dijangkakan.


Ia menambah, MMHE berhasrat untuk menentang tuntutan itu dan sedang mempertimbangkan tuntutan balas, bersama-sama dengan sebarang peruntukan undang-undang tambahan yang tersedia di bawah perundangan Malaysia.


"Selain daripada prosiding timbang tara, MMHE berhak untuk meneruskan sebarang tindakan undang-undang lain yang dibenarkan di bawah undang-undang Malaysia," kata kumpulan tersebut. - DagangNews.com