Unit Globaltec di Australia dapat hak jual gas kepada pengedar di Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unit Globaltec di Australia dapat hak jual gas kepada pengedar di Indonesia

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 17 Dis – Globaltec Formation Bhd memaklumkan syarikat sekutunya di Australia telah menandatangani perjanjian mengikat bagi penjualan gas kepada pengedar gas milik kerajaan Indonesia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu, Globaltec berkata perjanjian itu dimeterai antara anak syarikat NuEnergy Gas Ltd dan PT Perusahaan Gas Negara Tbk (PGN) bagi pembekalan gas metana lapisan arang batu daripada projek Tanjung Enim.

 

Menurut syarikat itu, perjanjian berkenaan melibatkan jumlah bekalan sebanyak 5.59 bilion kaki padu piawai gas, dengan jualan pertama dijangka bermula pada separuh pertama 2026.

 

Globaltec berkata, perjanjian tersebut akan kekal berkuat kuasa sehingga tamat kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Tanjung Enim pada 3 Ogos 2039 atau sehingga jumlah gas yang dipersetujui dibekalkan sepenuhnya, bergantung kepada yang mana berlaku terlebih dahulu.

 

Menurut pemakluman itu, perjanjian penjualan gas tersebut menyusuli kelulusan peruntukan gas yang diberikan di Indonesia kepada NuEnergy, iaitu syarikat bersekutu Globaltec yang dimiliki sebanyak 30% dan tersenarai di Australia.

 

Pelan pembangunan Tanjung Enim melibatkan 209 telaga yang meliputi kira-kira 13% daripada keseluruhan keluasan Tanjung Enim, dengan rizab diperakui dianggarkan sekitar 164.89 bilion kaki padu piawai gas.

 

Pengeluaran awal dijangka bermula pada kadar satu juta kaki padu piawai gas sehari.

 

Globaltec berkata, gas tersebut akan dihasilkan daripada empat telaga yang telah siap di bawah inisiatif jualan gas awal NuEnergy, dijual di lokasi telaga dan seterusnya diproses serta diedarkan oleh PGN sebagai gas asli termampat (CNG). - DagangNews.com