Unisem berdepan tekanan harga, diramal terus catat kerugian operasi di Malaysia - Affin Hwang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unisem berdepan tekanan harga, diramal terus catat kerugian operasi di Malaysia - Affin Hwang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Unisem (M) Berhad dipercayai berada di bawah tekanan harga bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran selain terus mencatatkan kerugian bagi operasi di Malaysia, kata Affin Hwang Capital.

 

Katanya, pengurusan Unisem menjangkakan kerugian unitnya di Malaysia akan berterusan untuk satu hingga dua suku tahun lagi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, margin kumpulan juga telah jatuh ke paras terendah dalam tempoh sedekad, mencerminkan cabaran kos yang berterusan.

 

Bagi suku kedua tahun 2025 (2Q25), Unisem mencatatkan kadar pertukaran ringgit kepada dolar AS sebanyak RM4.30 bagi setiap dolar AS, iaitu kira-kira 3% lebih kukuh berbanding suku sebelumnya.

 

“Walaupun dengan pengukuhan mata wang, syarikat melaporkan peningkatan hasil sebanyak 12% dari suku tahun ke suku tahun, melebihi unjuran awal iaitu pertumbuhan antara 5% hingga 10% dalam terma dolar AS.

 

“Apabila diukur dalam dolar AS, jualan meningkat sebanyak 15% dari suku tahun ke suku tahun, dipacu pemulihan permintaan sejajar dengan kitaran kenaikan semikonduktor global. Dari tahun ke tahun, hasil meningkat sebanyak 20%, didorong asas perbandingan yang rendah pada tempoh yang sama tahun lalu susulan kemerosotan kitaran industri.

 

“Namun begitu, walaupun mencatatkan hasil suku tahunan tertinggi dalam rekod, margin EBITDA Unisem merosot sebanyak 1.8 mata peratusan kepada 14.5%, tertekan oleh kenaikan kos operasi,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil Unisem bagi separuh pertama tahun 2025 (1HFY25) meningkat sebanyak 18%, pengecilan margin EBITDA, susut nilai yang lebih tinggi, perbelanjaan faedah dan cukai telah menekan keuntungan bersih.

 

Katanya, margin terjejas disebabkan kenaikan harga bahan mentah, peningkatan kos utiliti dan gaji, serta perbelanjaan permulaan di kemudahan baharu Unisem di Gopeng. Akibatnya, pendapatan teras bagi 1HFY25 merosot sebanyak 73%.

 

Secara keseluruhan, Affin Hwang berkata keputusan keseluruhan Unisem mengecewakan dan tidak mencapai jangkaan, dengan hanya memenuhi 12% daripada unjuran tahun penuh firma itu dan 10% daripada anggaran pasaran bagi tahun kewangan 2025 (FY25).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kekurangan pencapaian itu berpunca daripada margin keuntungan yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

Affin Hwang mengekalkan harga sasarannya sebanyak RM1.62 untuk Unisem, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) yang tidak berubah sebanyak 23 kali anggaran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2026 (FY26).- DagangNews.com