Ungku Norliza dilantik sebagai Timbalan CEO Boost Bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ungku Norliza dilantik sebagai Timbalan CEO Boost Bank

Ungku Norliza Syazwan Ungku Halmie
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai – Boost, syarikat teknologi kewangan serantau, mengumumkan pelantikan dua pemimpin dari dalam organisasinya ke jawatan kanan selaras matlamatnya membina kepimpinan dan memacu pertumbuhan berterusan dalam ekosistem perkhidmatan kewangan digital.

 

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boost Life, Ungku Norliza Syazwan Ungku Halmie kini dilantik sebagai Timbalan CEO Boost Bank.

 

Boost berkata, Ungku Norliza akan bekerjasama rapat dengan CEO Boost Bank, Fozia Amanulla, untuk mempercepatkan pelan pengembangan dan inovasi bank digital tersebut. 

 

“Beliau telah memainkan peranan penting dalam memperkasa Boost eWallet ke tahap pertumbuhan yang sangat memberangsangkan dan pernah dinobat sebagai ‘Pemimpin Wanita Tahun Ini’ pada 2023,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam masa sama, Boost turut melantik Gin Wong sebagai Ketua Perniagaan Pengguna, sekali gus mengambil alih kepimpinan Boost Life.

 

“Beliau pula akan memacu fasa pertumbuhan seterusnya melalui strategi pengalaman pengguna dan inovasi. 

 

“Sebagai bekas Ketua Produk, beliau memainkan peranan penting dalam menjadikan eWallet sebagai platform kewangan harian yang lancar dan mesra pengguna,” katanya.

 

Sementara itu, CEO Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, pelantikan tersebut mencerminkan prinsip syarikat untuk membina platform pembangunan kerjaya bagi pekerja.

 

“Tiada yang lebih membanggakan apabila melihat bakat dalaman seperti Ungku Liza dan Wong diberi ruang untuk berkembang dan menyumbang kepada pertumbuhan bersama syarikat,” katanya.

 

Boost menegaskan penyusunan semula kepimpinan itu akan menyokong aspirasi kumpulan untuk melahirkan pemimpin masa depan, selaras dengan visinya untuk muncul sebagai kumpulan perbankan digital serantau yang menerajui akses kewangan inklusif. - DagangNews.com