KUALA TERENGGANU 17 Dis - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan (FTKK) menganjurkan Hari Bersama Industri-FTKK 2025 bagi memperkukuh jalinan strategik antara universiti dan industri baru-baru ini.
Bertemakan “NexTECH FTKK 2025: Meneraju Inovasi Teknologi bersama Industri”, program itu menghimpunkan penyertaan rakan industri, alumni, pelajar dan warga akademik sebagai platform perkongsian ilmu serta pemindahan teknologi dalam bidang kejuruteraan kelautan, maritim, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi berkaitan.
Penolong Naib Canselor (Prestasi, Strategi dan Korporat) UMT Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata NexTECH 2025 membuktikan komitmen berterusan universiti dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan selari dengan keperluan industri semasa.
“Penglibatan industri secara langsung melalui program seperti ini dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan, selain mengukuhkan kerjasama strategik dalam aspek latihan, inovasi dan pemindahan teknologi,” katanya dalam satu kenyataan.
Program itu meliputi 9 segmen utama termasuk Industry Tech-Talk, pameran dan pertandingan inovasi, Forum Industri–Universiti, sesi rundingan One-on-One, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) serta lawatan ke fasiliti makmal dan kapal penyelidikan UMT.
Sebanyak 40 reruai pameran melibatkan penyertaan UMT dan industri disediakan, selain enam sesi ceramah dan demonstrasi teknologi oleh penceramah industri khususnya wakil dari syarikat minyak dan gas terkemuka.
Dalam majlis sama, UMT memeterai MoU dengan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi memperkukuh pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan, selain pemeteraian Surat Niat (LoI) FTKK bersama Dwi-Tecno Sdn. Bhd. dan Ranaco Marine Sdn. Bhd.
Penganjuran NexTECH 2025 dijangka mengukuhkan kedudukan UMT sebagai universiti berfokus marin dan teknologi kejuruteraan di samping menyokong agenda inovasi dan pembangunan bakat profesional negara. - DagangNews.com








