KUALA LUMPUR 1 Ogos – UMS Integration Ltd mencatat kemunculan sulung yang memberangsangkan di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini, sekali gus menjadikannya syarikat pertama dari Singapura yang disenaraikan secara sekunder di negara ini.
Saham pengeluar komponen dan modul berketepatan tinggi itu dibuka pada RM5.15, meningkat 3% atau 15 sen daripada harga rujukan RM5.
Ia melonjak setinggi RM5.39 sebelum diniagakan pada RM5.27 sekitar pukul 9.15 pagi, dengan lebih 1.1 juta saham bertukar tangan.
Dengan harga semasa itu, UMS Integration mencatat permodalan pasaran sekitar RM3.7 bilion.
Menariknya, penyenaraian itu dilakukan menerusi kaedah pengenalan (listing by way introduction) tanpa tawaran awam permulaan (IPO), yang bermaksud tiada saham baharu diterbitkan atau dana diperoleh untuk syarikat atau pemegang saham sedia ada.
Sebaliknya, sebanyak 10 juta saham sedia ada dibuka untuk dagangan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Luong Andy.
Luong berkata, penyenaraian di Bursa Malaysia adalah satu fasa penting bagi UMS Integration dalam memperluaskan asas pelaburnya, selain meningkatkan kecairan saham serta memberi fleksibiliti untuk akses ke pasaran ekuiti pada masa depan.
“Kami optimis terhadap prospek masa depan, khususnya usaha mengembangkan kapasiti pembuatan komponen semikonduktor berketepatan tinggi,” katanya dalam kenyataan
UMS Integration terlibat dalam pengeluaran modul, komponen dan sub-pemasangan untuk pelanggan dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa dan automasi kilang.
Bagi suku pertama tahun kewangan 2025, syarikat mencatat keuntungan bersih S$10.1 juta (RM33.28 juta) dengan hasil sebanyak S$57.7 juta, sebahagian besarnya disumbang oleh segmen semikonduktor manakala aeroangkasa menyumbang kira-kira 11%.
Kedudukan kewangan syarikat juga kekal kukuh dengan tunai bersih S$81.4 juta atau S$0.11 sesaham setakat akhir Mac 2025.
Ia turut mengumumkan dividen interim pertama bebas cukai sebanyak S$0.01 sesaham pada 24 Julai lalu. - DagangNews.com








