Ujian keselamatan LRT Shah Alam masih tertangguh, isu teknikal belum selesai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ujian keselamatan LRT Shah Alam masih tertangguh, isu teknikal belum selesai

Stesen LRT3 Damansara - Gambar Straits Consulting Engineers
Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 7 Jan – Ujian keselamatan operasi bebas kerosakan (FFR) bagi Laluan LRT Shah Alam yang sebelum ini dikenali sebagai LRT3, masih belum dapat dimulakan berikutan beberapa isu yang masih berlarutan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

 

Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan minggu hadapan melibatkan Prasarana Malaysia Bhd dan kontraktor utama bagi menentukan langkah seterusnya, selain memaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan mengenai jangkaan tarikh FFR dapat dilaksanakan.

 

“Setakat hari ini, masih tiada tarikh tetap,” katanya pada sidang media mengenai prestasi Prasarana bagi 2025 dan tinjauan 2026 di sini hari ini.

 

 

 

 

 

 

 

Menurut Loke, FFR perlu dilaksanakan ke atas kesemua 23 tren di laluan berkenaan sebelum operasi percubaan boleh dimulakan.

 

“Hanya selepas itu barulah mereka boleh memohon kelulusan operasi daripada kementerian. Walaupun kami kecewa dengan kelewatan ini, aspek keselamatan mesti diutamakan.

 

“Kontraktor perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara ini,” katanya.

 

Sebelum ini, pembukaan laluan tersebut dilaporkan telah disemak semula kepada 31 Dis tertakluk kepada keputusan ujian yang sedang dijalankan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Loke turut memaklumkan pintu skrin platform akan dipasang di 20 stesen tahun ini sebagai sebahagian daripada fasa pertama pelaksanaan.

 

 

 

 

 

 

“Fasa ini akan disiapkan dalam tahun ini,” katanya tanpa memperincikan stesen-stesen yang terlibat.

 

Secara keseluruhan, sebanyak 68 stesen dijadualkan untuk dilengkapi dengan pintu skrin platform bagi meningkatkan keselamatan penumpang dan kecekapan operasi rangkaian rel. - DagangNews.com