KUALA LUMPUR 25 April – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerima penarafan enam bintang dalam senarai Universiti Pilihan Majikan Talentbank 2025, yang diumumkan baru-baru ini dalam Indeks Kebolehpasaran Siswazah (Graduate Employability GE) Talentbank.
UIAM turut mencatatkan kejayaan cemerlang apabila sembilan program akademik universiti tersebut dianugerahkan penarafan enam bintang.
Program-program tersebut termasuk Ekonomi, Kewangan, Pengurusan Hospitaliti, Undang-Undang, Kejururawatan, Farmasi, Psikologi, Ukur Bahan, dan Pelancongan.
Pengiktirafan enam bintang itu memperlihatkan kepercayaan tinggi majikan terhadap kualiti graduan UIAM, khususnya dalam sembilan bidang pengajian berkenaan.
Talentbank yang bergiat aktif dalam pembangunan bakat dan tenaga kerja di Malaysia, mengumumkan Senarai Universiti Pilihan Majikan 2025 berdasarkan metodologi tiga peringkat, iaitu mengenal pasti universiti sasaran majikan, mengukur jumlah pengambilan, dan menilai pengambilan semula berdasarkan prestasi lulusan.

Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar berkata, penarafan tersebut merupakan bukti komitmen terhadap kecemerlangan akademik, kebolehpasaran graduan, dan relevansi dengan industri.
"Kejayaan ini diharapkan dapat terus mengukuhkan reputasi UIAM sebagai institusi yang melahirkan graduan yang berkualiti, kompeten, dan berdaya saing di pasaran kerja," katanya dalam satu kenyataan.
UIAM juga mencatatkan pencapaian luar biasa dalam Ranking Universiti Islam Terbaik Dunia. UIAM menduduki tempat pertama dalam senarai tersebut pada 2024, naik satu anak tangga berbanding tahun 2023, di mana UIAM berada di tempat kedua.
Penarafan itu diumumkan melalui portal UniRank, yang mengiktiraf universiti-universiti Islam terbaik di dunia berdasarkan kriteria ketat, termasuk pengiktirafan atau lesen daripada badan berwajib, serta penyediaan program ijazah sarjana muda dan pascasiswazah dalam format pembelajaran bersemuka.
UniRank, sebuah organisasi penarafan universiti terkemuka mengeluarkan Ranking Universiti Islam Terbaik Dunia 2024 untuk membantu pelajar memilih universiti yang memenuhi standard akademik tinggi dan relevan dengan keperluan industri global.
UIAM turut mencerminkan dedikasi dan komitmen dalam menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti, selain terus melahirkan graduan yang berdaya saing dalam pelbagai bidang.
Ini juga menandakan kedudukan strategik UIAM khususnya melahirkan pemimpin masa depan yang berwawasan dan kompeten.
UIAM komited untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti pilihan majikan dan menyumbang kepada perkembangan pendidikan serta tenaga kerja di peringkat nasional dan antarabangsa.








