UEM Sunrise menang tuntutan balas terhadap Ireka dalam prosiding berhubung kontrak pembinaan Imperia di Puteri Harbour | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Sunrise menang tuntutan balas terhadap Ireka dalam prosiding berhubung kontrak pembinaan Imperia di Puteri Harbour

Projek Imperia di Puteri Harbour, Johor
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Dis – UEM Sunrise Berhad telah memenangi tuntutan balas dalam prosiding timbang tara berpanjangan terhadap kontraktor utama projek pembangunan bercampur Imperia di Puteri Harbour, Johor iaitu Ireka Corporation Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata tribunal timbang tara telah menolak tuntutan yang dikemukakan oleh anak syarikat Ireka iaitu Ireka Engineering & Construction Sdn Bhd.

 

“Sebaliknya, tribunal membenarkan tuntutan balas yang difailkan oleh UEM Sunrise menerusi anak syarikat kami, UEM Land Bhd.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Susulan keputusan tersebut, Ireka diarahkan membayar kira-kira RM3.04 juta kepada UEM Land sebelum cukai,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Prosiding timbang tara itu bermula pada April 2019 bagi menyelesaikan pertikaian berkaitan kontrak pembinaan projek Imperia. 

 

Ireka, yang dilantik sebagai kontraktor utama pada 2012, menuntut bayaran sebanyak RM29.25 juta daripada UEM Land selain beberapa tuntutan tertunggak lain.

 

Bagaimanapun, UEM Land menolak tuntutan berkenaan dan mengemukakan tuntutan balas termasuk ganti rugi ditetapkan (liquidated damages) berjumlah RM27.29 juta serta kos pembaikan kecacatan sebanyak RM2.86 juta, di samping menetapkan jumlah akhir kontrak projek pada RM265.30 juta.

 

Selepas mengambil kira pelarasan amaun yang perlu dibayar di bawah akaun akhir projek, tribunal memutuskan bahawa Ireka perlu membayar kira-kira RM2.10 juta kepada UEM Land. 

 

Selain itu, Ireka turut diarahkan membayar kos timbang tara berjumlah RM0.7 juta serta yuran penimbang tara dan perbelanjaan pentadbiran sebanyak RM0.24 juta.

 

Tribunal juga memutuskan bahawa faedah pada kadar 5% setahun akan dikenakan ke atas sebarang jumlah tertunggak sekiranya pembayaran tidak dibuat dalam tempoh 21 hari dari tarikh anugerah muktamad.

 

 

 

 

 

 

 

Pada rehat tengah hari dagangan Selasa, saham UEM Sunrise meningkat setengah sen atau 0.92% kepada 55 sen, sebelum pengumuman tersebut dibuat. 

 

Saham Ireka pula telah digantung daripada dagangan sejak Oktober lalu. - DagangNews.com