KUALA LUMPUR 20 Ogos – UEM Sunrise Berhad akan menganjurkan Viper Challenge, acara larian halangan terbesar Asia di Puteri Harbour, Johor pada 23 dan 24 Ogos ini.
Pegawai Bertanggungjawab dan Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Hafizuddin Sulaiman berkata, lebih 3,000 peserta dijangka menyertai larian itu untuk tiga kategori iaitu 7 kilometer (km), 12km dan 21km yang menggabungkan laluan berbukit, lumpur dan air serta sehingga 25 halangan bertaraf dunia.
Katanya, sekitar 6,000 pengunjung dijangka membanjiri destinasi tepi laut itu untuk menyaksikan aksi yang menampilkan lima halangan baharu tahun ini.
“Edisi 2025 juga memperkenalkan laluan halangan mini untuk kanak-kanak berumur empat hingga 13 tahun, selain kategori Elite untuk peserta dewasa dengan masa terpantas berpeluang menaiki podium sebagai juara.
“Kami teruja menyambut Viper Challenge ke Iskandar Puteri. Acara ini bukan sahaja mempromosikan gaya hidup aktif dan kesihatan, malah mencerminkan visi kami untuk mewujudkan komuniti bandar yang meriah dan saling berhubungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Viper Challenge telah menjadi acara larian halangan terkenal di Asia sejak 2013, dengan lebih 350,000 peserta terdahulu dan lokasi sebelum ini termasuk Genting Highlands, Port Dickson, Putrajaya dan Pulau Sentosa, Singapura. - DagangNews.com










