KUALA LUMPUR 7 April - U Mobile, penyedia rangkaian 5G generasi baharu di Malaysia, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama EdgePoint Insfrastruktur Sdn Bhd (EdgePoint), menjadikan syarikat itu sebagai antara rakan insfrastruktur pilihan bagi pelaksanaan Liputan 5G Dalam Bangunan (In-Building Coverage, IBC) di seluruh negara.
Perjanjian itu menyaksikan EdgePoint dinamakan sebagai rakan strategik U Mobile dalam menyediakan dan membangunkan infrastruktur 5G IBC di Malaysia.
Kerjasama ini juga akan menyokong pelaksanaan teknologi pintar seperti kecerdasan buatan (AI), bandar pintar, sistem autonomi dan aplikasi masa hadapan.
MoU itu dimeterai secara rasmi pada 7 April 2025, menandakan permulaan fasa baharu dalam pembangunan ekosistem 5G negara.
Pelaksanaan infrastruktur itu akan dijalankan secara menyeluruh di seluruh Malaysia, termasuk kawasan bandar utama, pusat komersial dan lokasi bertrafik tinggi—meliputi Semenanjung serta Malaysia Timur.
Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen kumpulan untuk menyediakan perkhidmatan 5G yang pantas dan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.
Beliau berkata, dengan keupayaan EdgePoint dalam menyediakan rumusan IBC terkini, kedua-dua pihak berhasrat mempercepatkan pelaksanaan teknologi 5G yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi digital negara.
"Melalui kerjasama ini, U Mobile dan EdgePoint akan membangunkan rumusan liputan 5G IBC yang disesuaikan dengan keperluan tapak tertentu.
"Mereka akan menumpukan pada aspek kelajuan pelaksanaan, kos efektif, dan keberkesanan operasi melalui teknologi moden. Selain itu, kerjasama ini juga membuka peluang untuk penerokaan inovasi dan peluasan masa depan dalam penyelesaian 5G," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.- DagangNews.com








