KUALA LUMPUR 26 Mei – IHH Healthcare Bhd menerusi anak syarikat tidak langsungnya yang berpangkalan di Singapura, Northern TK Venture Pte Ltd (NTK), telah menaikkan tuntutan ganti rugi 10 kali ganda terhadap Daiichi Sankyo Co Ltd kepada kira-kira ¥200 bilion (RM5.7 bilion).
IHH Healthcare menegaskan, tuntutan itu berkaitan dakwaan gangguan oleh Daiichi Sankyo terhadap usaha NTK mengambil alih Fortis Healthcare Ltd dan Fortis Malar Hospitals Ltd susulan pelaburan awal syarikat itu 2018.
NTK telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Daerah Tokyo untuk meminda tuntutan semasa berdasarkan laporan pakar bebas oleh Osborne Partners Ltd pada Februari 2025.
Laporan itu mengemukakan tiga situasi berbeza untuk mengira kerugian yang dialami NTK sekiranya tawaran terbuka tidak dihalang, dengan anggaran kerugian 4.24 bilion rupee hingga 109.3 bilion rupee (sekitar ¥199.8 bilion atau RM5.7 bilion).
Tuntutan ganti rugi merangkumi kehilangan potensi pulangan pelaburan, kerosakan reputasi, dan fitnah terhadap syarikat, tidak termasuk faedah berasingan pada kadar tahunan 3%.
NTK juga menyatakan hak untuk meminda tuntutan semula berikutan kerosakan berterusan akibat perbuatan salah oleh Daiichi Sankyo dan perbicaraan tertutup ditetapkan 11 Julai 2025.
IHH memenangi bidaan pengambilalihan Fortis Healthcare pada 2018 dengan memperoleh 31.1% kepentingan, sekali gus mencetuskan kewajipan undang-undang India untuk NTK melaksanakan tawaran terbuka kepada pemegang saham awam.
Pada Disember 2018, Mahkamah Agung India mengeluarkan perintah interim status quo secara ex parte kepada Daiichi Sankyo yang menghalang NTK daripada meneruskan tawaran terbuka tersebut.
NTK mendakwa tidak dimaklumkan mengenai permohonan itu, sekali gus menggagalkan usaha syarikat itu untuk meningkatkan pegangan dalam Fortis Healthcare.
Daiichi Sankyo sebelumnya terbabit dalam pertikaian undang-undang berlarutan dengan pemegang saham utama terdahulu Fortis, adik-beradik Singh, berkaitan pelaburan gagal dalam Ranbaxy Laboratories Ltd.
Walaupun perintah interim tamat 2022, Daiichi Sankyo dilaporkan memberi amaran kepada pengawal selia di India ia akan memulakan prosiding penghinaan mahkamah sekiranya tawaran terbuka diteruskan tanpa kelulusan Mahkamah Tinggi Delhi, di mana kesnya terhadap keluarga Singh masih berlangsung.
Sehingga kini, NTK belum dapat melaksanakan tawaran terbuka tersebut. Dana yang diperuntukkan untuk urus niaga itu, dianggarkan ¥60.2 bilion (RM1.71 bilion) terus dibekukan.
Menerusi gabungan Fortis Healthcare, Gleneagles Hospitals dan lebih 400 makmal Agilus Diagnostics, IHH kini mengendalikan antara rangkaian penjagaan kesihatan swasta terbesar di India.
IHH berkata, strategi pengembangannya di India memberi tumpuan kepada projek brownfield, kecekapan modal, dan sinergi operasi.
"Kami berharap situasi ini dapat diselesaikan dengan segera agar usaha menyediakan rawatan berkualiti kepada komuniti di seluruh India dapat diteruskan," kata syarikat dalam satu kenyataan.- DagangNews.com








